Wednesday, 14 December 2016

Industri Pelancongan di Malaysia

1.         PENGENALAN

1.1         LATAR BELAKANG

Industri pelancongan di Malaysia merupakan salah satu industri perkhidmatan yang utama sebagai penyumbang hasil pendapatan negara. Cabang-cabang perniagaan yang terdapat di dalam industri pelancongan ini kian berkembang pesat dan maju serta boleh dikatakan mendatangkan keuntungan yang besar bagi pengusaha-pengusaha yang terlibat di dalam perkhidmatan ini.

Industri pelancongan boleh ditafsirkan melalui dua perkara berbeza yang disatukan. Industri membawa maksud sebagai sesuatu aktiviti ekonomi dalam penghasilan barang mentah menjadi barang siap untuk pengeluaran barang ataupun penyediaan perkhidmatan.

Sektor perindustrian ini mencatatkan pendapatan yang tinggi dalam memangkin pertumbuhan ekonomi Negara dari zaman sebelum merdeka sehinggalah pada waktu ini. Di dalam negara-negara yang membangun, perindustrian boleh dikatakan sebagai penggerak utama pembangunan terutama dari segi keupayaan penggunaan tenaga buruh dan pengeluaran. Industri pelancongan yang termasuk di dalam sektor industri perkhidmatan terdiri daripada pelbagai subsektor di mana sebahagiannya boleh diperdagangkan.

Manakala pelancongan pula dapat ditafsirkan sebagai pergerakan manusia ke tempat-tempat atau destinasi di luar tempat penginapan mereka yang biasa atau tempat kerja, aktiviti-aktiviti yang dilakukan selama mereka tinggal di destinasi tersebut dan kemudahan yang disediakan bagi memenuhi keperluan mereka. Pelancongan juga boleh dianggap sebagai suatu kemewahan kepada segelintir masyarakat kerana kemampuan untuk melancong hanya mampu dilakukan oleh segelintir orang yang mempunyai wang ringgit ataupun masa. Matthieson and Wall (1991), menyatakan bahawa waktu senggang yang banyak, ekonomi yang semakin baik, kemudahan pengangkutan yang sempurna telah bergabung untuk membolehkan lebih banyak orang pergi melancong.

Industri pelancongan di Malaysia merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara. Pengiktirafan di peringkat global terhadap Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia juga menjadikan pelancongan sebagai salah satu bidang pelaburan yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang berperanan mengangkat Malaysia menuju ke arah negara maju pada masa mendatang.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan pada 30 Jun 2016, seramai 176.9 juta pelawat domestik telah direkodkan pada tahun 2015 dengan peningkatan sebanyak 4.5 peratus berbanding tahun 2014. Manakala, bilangan perjalanan meningkat 8.1 peratus iaitu daripada 217.5 juta perjalanan pada tahun 2014 kepada 235.2 juta perjalanan pada tahun 2015.

Sejumlah RM67,842 juta telah dibelanjakan bagi pelancongan domestik pada tahun 2015 dan purata perbelanjaan bagi setiap perjalanan telah meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada RM288 berbeza daripada tahun 2014 iaitu sebanyak RM286.

2.         TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya pada 26 Februari 2016 telah menyatakan bahawa antara fokus utama kerajaan adalah bagi mengembangkan sektor pelancongan negara. Sektor pelancongan negara ini adalah merupakan suatu industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan yang besar dalam bentuk tukaran mata wang asing serta antara lain dapat memasyhurkan Malaysia di mata dunia.

Kerajaan juga menurut YAB Perdana Menteri sedang melancarkan promosi pakej percutian ke Malaysia dengan lebih giat di luar Negara. Dengan penurunan nilai matawang ringgit, kos percutian di negara ini menjadi lebih murah untuk pelancong asing datang ke Malaysia. Ini akan membuka lebih peluang perniagaan rakyat ini apabila pelancong berbelanja apabila datang melancong dan ianya merupakan satu bentuk pendapatan untuk ekonomi negara.

Industri pelancongan berpotensi menjadi penjana ekonomi yang besar jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang cukup dan sewajarnya. Sumbangan-sumbangan yang proaktif dan positif dalam isu-isu alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan awam malah keselamatan pelancong yang datang melawat negara ini diambil kira secara keseluruhannya. Dengan penggemblengan tenaga daripada segenap agensi memainkan peranan maka kejayaan industri pelancongan ini tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi di dalam dan luar negara sahaja yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar.

Sehingga ke hari ini Kementerian Pelancongan telah menganjurkan pelbagai aktiviti-aktiviti dan promosi baik di dalam mahupun di luar negara bagi menarik minat pelancong-pelancong untuk datang ke Malaysia. Disamping itu juga, dengan pengiktirafan-pengiktirafan tapak warisan mahupun tempat-tempat bersejarah yang telah diwartakan oleh UNESCO telah menambahkan lagi tarikan bagi pelancong-pelancong luar untuk berkunjung ke negara ini. Ini sedikit sebanyak telah membantu meningkatkan populariti destinasi-destinasi yang ingin mereka lawati.

3.    KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA
           
Industri pelancongan merupakan salah satu aspek penting kepada pembangunan ekonomi dalam negara kita. Jika dilihat dari sudut politik, ia amat memainkan peranan yang penting kepada imej Malaysia. Antara yang dapat dilihat adalah apabila negara menganjurkan sesuatu kejohanan ataupun acara di peringkat antarabangsa ianya secara tidak langsung menggamit penyertaan daripada negara-negara yang bertanding. Sebagai contoh apabila Malaysia menganjurkan sesuatu acara sukan, sudah tentu penyertaan peserta yang bertanding akan hadir ke negara ini dan secara tidak langsung telah membawa sekali bukan sahaja peserta bertanding malahan penyokong-penyokong ataupun rakyat-rakyat negara terbabit yang ingin menyaksikan pertandingan tersebut. Hubungan politik yang baik dan erat di antara  Malaysia dan negara anggota telah mendekatkan lagi hubungan politik yang telah terjalin selama ini. Dalam erti kata lain ianya secara tidak langsung telah mempromosikan negara Malaysia ke mata dunia.

Layanan yang baik dan ramah dari rakyat Negara ini telah terbukti ke seluruh dunia dan ini membuatkan pelancong-pelancong yang datang berasa selesa apabila berkunjung ke Malaysia. Keupayaan negara kita juga dalam menganjurkan sukan-sukan bertaraf dunia telah membantu mempromosikan negara Malaysia ke seluruh dunia. Sebagai contoh penganjuran Sukan bermotor seperti F1 dan MotoGP yang ditayangkan secara langsung di serata dunia amat berkesan sekali membawa penonton mengenali Malaysia seterusnya menarik minat mereka untuk datang ke sini untuk melancong.

Dari segi ekonomi pula, pelancongan telah membantu menigkatkan ekonomi negara dengan cara pengaliran wang asing yang masuk ke Malaysia oleh pelancong asing yang datang ke negara ini. Mata wang asing yang ditukarkan ke Ringgit Malaysia untuk mereka berbelanja dapat diniagakan kembali untuk tujuan ekonomi negara. Disamping itu, dengan peningkatan pelancong asing ke dalam negara bermakna sektor perniagaan juga dapat dijana dengan rancak apabila keperluan pelancong dipenuhi dengan perniagaan penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan awam mahupun khidmat jurupandu pelancong. Ini secara langsung telah menghidupkan peluang-peluang perniagaan kepada pengusaha-pengusaha tempatan untuk terus berdaya saing.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2015 perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 9.2 peratus kepada RM67,842 juta berbanding RM62,151 juta pada tahun 2014. Ini disumbangkan oleh peningkatan perbelanjaan oleh pelawat harian dan pelancong masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 13.7 peratus dan 6.9 peratus. Dari segi sumbangan, membeli-belah kekal sebagai komponen perbelanjaan tertinggi bagi perbelanjaan pelawat domestik dengan peratus sumbangan sebanyak 34.2 peratus iaitu RM23,192 juta. Ini membuktikan bahawa industri pelancongan telah banyak menyumbang dari segi ekonomi kepada negara kita.

4.         HALANGAN DAN CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN.

Industri pelancongan di Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran-cabaran dan halangan yang boleh menjejaskan situasi pelancongan di negara ini. Antara halangan dan cabaran yang sering dihadapi termasuklah dari segi politik, sosial, ekonomi mahupun keselamatan.

            4.1       CABARAN POLITIK

Sebagai menjamin kelansungan industri pelancongan di negara ini terus maju dan berdaya saing, kestabilan dari segi politik adalah salah satu factor yang penting yang perlu diambil kira. Bagi menarik lebih ramai pelancong asing yang datang ke dalam negara, keamanan dan kestabilan politik haruslah dikekalkan.

Ketidakstabilan politik sesuatu negara terhadap industri pelancongan perlu dijadikan pengajaran tentang betapa pentingnya suasana keharmonian negara dalam pertumbuhan industri pelancongan.

Sebagai contoh, jika berlaku pergolakan politik dalam negara maka ianya sedikit sebanyak akan mempengaruhi bilangan pengunjung yang ingin datang melancong. Perhimpunan-perhimpunan ataupun demonstrasi yang diadakan dijalan-jalan sekitar Bandar-bandar besar dalam negara akan membuatkan pelancong-pelancong merasa tidak selesa ataupun takut.

Ketidakstabilan politik antarabangsa juga mampu mempengaruhi dan menggugat industry pelancongan. Antara kesan-kesan yang dapat dilihat ialah berlaku pengurangan dalam bilangan pelancong yang datang akibat kesan daripada liputan media-media luar yang menjaja cerita-cerita yang tidak benar terhadap Malaysia. Dalam zaman dunia tanpa sempadan ini berita-berita tersebar dengan pantas di media-media sosial mahupun aplikasi-aplikasi dalam talian yang ada pada masa ini tanpa dibuktikan kesahihan cerita-cerita tersebut.

            4.2       CABARAN SOSIAL

Negara Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang penduduknya berpegang kepada nilai-nilai ketimuran dan penuh adab sopan. Kedatangan pelancong-pelancong asing ke negara ini sedikit sebanyak membawa kesan terhadap kehidupan sosial kepada penduduk setempat. Isu moral pelancong asing di negara ini adalah cabaran yang baharu kepada industri pelancongan. Sebagai contoh terdapat kes-kes seperti pelancong asing berjemur tanpa pakaian dan separuh bogel di tepi pantai peranginan dan terdapat juga pelancong yang berbogel di atas Gunung Kinabalu, Sabah pada tahun lalu telah mandapat perhatian dan kritikan dari pelbagai pihak. Keadaan-keadaan sebegini sebenarnya adalah satu cabaran yang sukar untuk ditangani kerana perilaku pelancong asing ini tidak memahami budaya negara ini atau dengan sengaja tidak mahu menghormati peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di setiap destinasi pelancongan yang terdapt dalam negara ini. Walaupun setiap lokasi pelancongan di negara ini termasuklan pulau, pantai, tempat bersejarah, tanah tinggi dan sebagainya telah mempunyai papan tanda dan peraturan-peraturan yang ditulis dalam pelbagai bahasa bagi menasihati dan mengingatkan setiap pelancong tentang apa yang boleh dilakukan dan apa yang dilarang dikawasan tersebut.

            4.3       CABARAN EKONOMI

Keadaan ekonomi negara juga mempengaruhi pergerakan industri pelancongan di Malaysia. Melihat pada masa ini, keadaan ekonomi negara yang dipengaruhi oleh ketidaksaeimbangan ekonomi dunia telah menjejaskan sedikit sebanyak pendapatan pengusaha-pengusaha yang mengendalikan pusat-pusat destinasi pelancongan. Ini merupakan tamparan hebat kepada industri ini kerana halangan-halangan yang muncul telah mengganggu kelancaran perjalanan perniagan meraka. Walaupun nilai matawang ringgit yang jatuh menjunam sedikit sebanyak menarik minat pelancong untuk datang ke nagara ini namun aktiviti-aktiviti dalam negara yang ditawarkan kepada pelancong dilihat sedikit terhad oleh kerana kekangan ekonomi yang berlaku.

Ini ditambah lagi dengan langkah-langkah penjimatan yang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan yang selama ini banyak menyumbang kepada sektor pelancong-pelancong tempatan. Sekatan daripada menggunakan fasiliti-fasiliti dari hotel-hotel mahupun tempat-tempat penginapan di pelbagai destinasi-destinasi pelancongan memberi impak yang besar terhadap pengusaha-pengusaha terbabit.

            4.4       CABARAN KESELAMATAN

Menurut Michalko (2003), beliau telah menyatakan bahawa keselamatan dalam pelancongan sebagai keselamatan diri pelancong dan harta benda mereka, termasuklah kebolehan untuk mengetahui arah dalam persekitaran asing, memahami tanda sistem tempatan, petunjuk dan konvensyen social serta keselamatan perkhidmatan pengguna dan membeli belah. Pelancong yang datang ke sesuatu tempat akan membuat tanggapan yang negative jika mereka berasa tidak selamat ataupun terancam terhadap destinasi tersebut. Perkara-perkara seperti ini akan memberi kesan yang tidak baik terhadap industri pelancongan dan akan mengurangkan kadar pelancong yang datang ke sesuatu destinasi pelancongan itu.

Pengaruh media juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi isu keselamatan ini. Berita-berita yang tersebar melalui media-media social telah mempercepatkan lagi sesuatu perkara atau keadaan keselamatan yang berlaku disesuatu tempat. Walaupun ada unsur-unsur positif yang dapat diperolehi dari kemudahan yang terdapat pada waktu ini namun terdapat juga perkara negatif yang terhasil. Ini termasuklah penyebaran berita-berita palsu yang bercanggah dari keadaan sebenar sesuatu tempat yang diperolehi dari sumber-sumber yang tidak dapat disahkan. Faktor-faktor sebegini telah memberi tamparan hebat terhadap perkembanga industri pelancongan di negara ini.

5.   SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
                       
            Umum mengetahui bahawa pada waktu ini keadaan ekonomi dunia berada pada tahap yang tidak begitu baik namun industri pelancongan masih lagi relevan bagi menjana pendapatan penting disamping hasil daripada sektor-sektor penting negara ini. Industri pelancongan mampu memberi impak segera bagi segenap sudut pendapatan kepada pengusaha-pengusaha terbabit sama ada kepada pengusaha penginapan, pengangkutan mahupun makanan. Usaha ini berpotensi untuk direalisasikan dengan penglibatan menyeluruh dari segenap sudut dan pihak agar dapt bersama menggembleng tenaga bagi membangun dan memajukan industri pelancongan di Malaysia.

Kerajaan khususnya melalui Kementerian Pelancongan telah menjadi pemangkin kepada pengusaha-pengusaha yang terlibat dalam industri ini di mana saban tahun telah menganjurkan pelbagai aktiviti dan bantuan kepada mereka. Negara Malaysia yang terkenal dengan ekopelancongan yang mempunyai pantai-pantai antara tercantik di dunia dan hutan hujan tropika yang mempunyai tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang unik. YAB Perdana Menteri juga dalam blognya telah menyatakan bahawa pihak kerajaan akan sentiasa berusaha untuk mengembangkan sektor pelancongan bagi memangkin ekonomi negara dalam keadaan ekonomi tiodak menentu ini.

Bajet 2017 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini juga telah mengumumkan untuk memperluaskan lagi eVisa ke negara di rantau Balkan dan Asia Selatan. Ini berikutan tindakan kerajaan yang sebelum ini telah meluaskan eVisa ke China dan India memperolehi hasil yang sangat positif. Merujuk kenyataan yang dinyatakan oleh Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis sebagai berkata “Inisiatif meluaskan eVisa ke rantau Balkan dan Asia Selatan dilihat mampu merancakkan jumlah kemasukan pelancong asing ke negara ini” (Bernama, 21 Oktober 2016). YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan dana sebanyak RM400 juta akan disalurkan kepda sector pelancongan bagi memberi tumpuan ke atas promosi dan penambahbaikan kemudahan pelancongan.

Pihak kerajaan juga melalui agensi-agensi berkaitan telah menyediakan skim bantuan dan pembiayaan sebagai langkah untuk menyokong penglibatan syarikat-syarikat mahupun individu yang terlibat dalam industry pelancongan di negari ini dengan menyediakan skim-skim bantuan kerajaan yang pelbagai antaranya adalah Tabung Infrastruktur Pelancongan, Tabung Khas Pelancongan, Pembiayaan Industri Kecil dan Sederhana oleh Institusi Kewangan Kerajaan, Program Promosi Industri Kecil Sederhana (SMIPP) dan sebagainya.

Disamping itu, pihak-pihak swasta juga tidak ketinggalan dalam memberi sokongan terhadap industri pelancongan ini dengan menawarkan pelbagai kemudahan dan tawaran latihan kepada pengusaha-pengusaha perkhidmatan pelancongan. Usaha-usaha sebegini dilihat mampu mempertingkatkan lagi kemantapan aspek pembangunan industri pelancongan disamping berkolaborasi dengan pihak kerajaan agar industri ini tidak malap dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

6.        LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN                
                       
                        Walaupun kita dapat melihat perbezaan penurunan kehadiran pelancong yang datang ke Malaysia  dari tahun 2014 ke tahun 2015 iaitu sebanyak 25.7 juta pelancong berbanding 27.44 juta pada 2014 di mana sebanyak 6.3 peratus yang dikeluarkan oleh Toursim Malaysia ini tidak mematahkan semangat pengusaha-pengusaha industri pelancongan yang ada di Malaysia. Pelbagai inisiatif dan langkah-langkah diambil oleh pihak kerajaan dan swasta untuk terus membangunkan sektor pelancongan di negara ini.

                        Kementerian Pelancongan terutama melalui Tourism Malaysia sedang giat melakukan pelbagai usaha bagi menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke Malaysia dengan penganjuran pelbagai acara dan kempen di luar negara mahupun dalam negara. Dengan adanya sokongan yang padu daripada YAB Perdana Menteri melalui Bajet 2017 yang memperuntukkan sebilangan besar peruntukan untuk membangunkan industri pelancongan sedikit sebanyak memberi nafas baru untuk industri ini terus berkembang. Dengan adanya tarikan-tarikan terbaru yang diwujudkan di dalam negara ini sedikit sebanyak telah mendatangkan minat untuk pelancong untuk datang berkunjung. Ini dapat memberi pilihan dan alternatif selain daripada tempat yang terkenal untuk dilawati.

Sistem perkhidmatan pengangkutan yang ditambah baik dari semasa ke semasa telah menunjukkan betapa seriusnya pihak kerajaan untuk memantapkan lagi industri pelancongan. Antaranya dengan siapnya sistem rel berkembar yang membolehkan sistem pengangkutan ETS ditambah perkhidmatannya ke utara tanah air agar lebih memudahkan dan melancarkan perjalanan yang dapat dipendekkan tempoh masa perjalanan serta memberi pilihan kepada pelancong untuk menggunakan pengangkutan tersebut ke destinasi-destinasi pelancongan yang ada disepanjang kawasan tersebut. Ini sekaligus dapat menjimatkan masa untuk perjalanan jauh bagi pelancong. Pertambahan jaringan LRT dan MRT juga amat membantu dalam menarik minat dan kemudahan pelancong yang datang ke Malaysia. Keselesaan, keselamatan dan ketepatan perkhidmatan pengangkutan awam juga penting bagi pelancong untuk bergerak ke destinasi-destinasi pilihan mereka.

                        Penganjuran acara-acara seperti Floria, MAHA dan sebagainya adalah salah satu cara yang amat berkesan sekali menarik pelancong. Dengan adanya kemudahan media-media sosial maklumat-maklumat tentang karnival atau acara ini dapat dipromosikan dengan lebih efektif dan cepat disamping cara-cara pengiklanan sedia ada. Ini amat membantu dalam menyalurkan maklumat kepada pelancong yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang acara-acara pelancongan yang akan diadakan di negara ini.

                        Selain itu juga, tempat-tempat pelancongan ini haruslah dijaga rapi agar ia sentiasa terkawal dan menarik. Keselamatan, kebersihan dan keselesaan setiap pengunjung harus diambil kira supaya imej negara sentiasa disanjung di seantero dunia. Pelancong-pelancong yang datang juga akan sama-sama mempromosikan negara ini kepada rakan-rakan mereka tentang tarikan dan keunikan destinasi-destinasi terseut kepada rakan-rakan mereka. Secara tidak langsung dapat menambahkan lagi jumlah pelancong yang akan datang berkunjung seterusnya mambantu membangunkan industri pelancongan Malaysia.

7.         KESIMPULAN

                        Ternyata sekali industri pelancongan mampu untuk menigkatkan tahap ekonomi negara ini. Langkah-langkah yang proaktif daripada semua pihak adalah perlu bagi menjayakan industri pelancongan di negara ini. Pengglembengan tenaga terutama dari pihak kerajaan, swasta dan individu haruslah sentiasa seiring bagi industri pelancongan ini terus berdaya saing dan maju bagi menjayakan matlamat wawasan negara.

Walaupun dalam senario ekonomi yang tidak menentu tetapi industri pelancongan masih dapat bertahan dengan adanya kepelbagaian segmen tarikan pelancongan yang disajikan dan ini memberi kelebohan kepada negara ini untuk menawarkan produk pelancongan yang lebih berdaya saing. Kestabilan politik, social, ekonomi dan keselamatan yang baik dan perlu dikekalkan akan dapat menjamin bahawa negara ini akan menjadi destinasi utama pelancong asing.

Dalam kita mengalu-alukan pelancong asing, kita juga perlu bertegas agar peraturan, adab sopan dan budaya negara ini kekal terpelihara. Diharap agar industri pelancongan di negara ini dapat terus berkembang seterusnya mendatangkan pulangan yang lumayan kepada pendapatan negara dan rakyat Malaysia.





RUJUKAN

T. Logeswaran (2015). Isu Keselamatan Dalam Industri Pelancongan: Satu Tinjauan Konsep. Malaysian Journal of Society and Space, 11 Issue 12 (2015), 32-     41  

Laman sesawang: https://www.tourism.gov.my/statistic diakses pada 27 November 2016.


Laman sesawang: https://www.pmr.penerangan.gov.my diakses pada 28 November 2016.

Laman sesawang: https://www,motour,gov.my diakses pada 28 November 2016.

Laman sesawang: https://www.najibrazak.com diakses pada 28 November 2016.

No comments:

Post a Comment