1. PENGENALAN
1.1
LATAR BELAKANG
Industri
pelancongan di Malaysia merupakan salah satu industri perkhidmatan yang utama
sebagai penyumbang hasil pendapatan negara. Cabang-cabang perniagaan yang
terdapat di dalam industri pelancongan ini kian berkembang pesat dan maju serta
boleh dikatakan mendatangkan keuntungan yang besar bagi pengusaha-pengusaha
yang terlibat di dalam perkhidmatan ini.
Industri
pelancongan boleh ditafsirkan melalui dua perkara berbeza yang disatukan.
Industri membawa maksud sebagai sesuatu aktiviti ekonomi dalam penghasilan
barang mentah menjadi barang siap untuk pengeluaran barang ataupun penyediaan
perkhidmatan.
Sektor
perindustrian ini mencatatkan pendapatan yang tinggi dalam memangkin
pertumbuhan ekonomi Negara dari zaman sebelum merdeka sehinggalah pada waktu
ini. Di dalam negara-negara yang membangun, perindustrian boleh dikatakan
sebagai penggerak utama pembangunan terutama dari segi keupayaan penggunaan
tenaga buruh dan pengeluaran. Industri pelancongan yang termasuk di dalam
sektor industri perkhidmatan terdiri daripada pelbagai subsektor di mana
sebahagiannya boleh diperdagangkan.
Manakala
pelancongan pula dapat ditafsirkan sebagai pergerakan manusia ke tempat-tempat
atau destinasi di luar tempat penginapan mereka yang biasa atau tempat kerja,
aktiviti-aktiviti yang dilakukan selama mereka tinggal di destinasi tersebut
dan kemudahan yang disediakan bagi memenuhi keperluan mereka. Pelancongan juga
boleh dianggap sebagai suatu kemewahan kepada segelintir masyarakat kerana
kemampuan untuk melancong hanya mampu dilakukan oleh segelintir orang yang
mempunyai wang ringgit ataupun masa. Matthieson and Wall (1991), menyatakan
bahawa waktu senggang yang banyak, ekonomi yang semakin baik, kemudahan
pengangkutan yang sempurna telah bergabung untuk membolehkan lebih banyak orang
pergi melancong.
Industri
pelancongan di Malaysia merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara.
Pengiktirafan di peringkat global terhadap Malaysia sebagai antara destinasi
pelancongan utama dunia juga menjadikan pelancongan sebagai salah satu bidang
pelaburan yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain
yang berperanan mengangkat Malaysia menuju ke arah negara maju pada masa
mendatang.
Berdasarkan
laporan Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan pada 30 Jun 2016, seramai 176.9
juta pelawat domestik telah direkodkan pada tahun 2015 dengan peningkatan
sebanyak 4.5 peratus berbanding tahun 2014. Manakala, bilangan perjalanan
meningkat 8.1 peratus iaitu daripada 217.5 juta perjalanan pada tahun 2014
kepada 235.2 juta perjalanan pada tahun 2015.
Sejumlah
RM67,842 juta telah dibelanjakan bagi pelancongan domestik pada tahun 2015 dan
purata perbelanjaan bagi setiap perjalanan telah meningkat sebanyak 0.7 peratus
kepada RM288 berbeza daripada tahun 2014 iaitu sebanyak RM286.
2. TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
Perdana
Menteri Malaysia dalam ucapannya pada 26 Februari 2016 telah menyatakan bahawa
antara fokus utama kerajaan adalah bagi mengembangkan sektor pelancongan negara.
Sektor pelancongan negara ini adalah merupakan suatu industri perkhidmatan
utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan yang besar dalam
bentuk tukaran mata wang asing serta antara lain dapat memasyhurkan Malaysia di
mata dunia.
Kerajaan juga
menurut YAB Perdana Menteri sedang melancarkan promosi pakej percutian ke
Malaysia dengan lebih giat di luar Negara. Dengan penurunan nilai matawang
ringgit, kos percutian di negara ini menjadi lebih murah untuk pelancong asing
datang ke Malaysia. Ini akan membuka lebih peluang perniagaan rakyat ini
apabila pelancong berbelanja apabila datang melancong dan ianya merupakan satu
bentuk pendapatan untuk ekonomi negara.
Industri
pelancongan berpotensi menjadi penjana ekonomi yang besar jika usaha-usaha
memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang cukup dan
sewajarnya. Sumbangan-sumbangan yang proaktif dan positif dalam isu-isu alam
sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem
pengangkutan awam malah keselamatan pelancong yang datang melawat negara ini diambil
kira secara keseluruhannya. Dengan penggemblengan tenaga daripada segenap
agensi memainkan peranan maka kejayaan industri pelancongan ini tidak
semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi di dalam dan luar negara
sahaja yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar.
Sehingga ke
hari ini Kementerian Pelancongan telah menganjurkan pelbagai aktiviti-aktiviti
dan promosi baik di dalam mahupun di luar negara bagi menarik minat
pelancong-pelancong untuk datang ke Malaysia. Disamping itu juga, dengan
pengiktirafan-pengiktirafan tapak warisan mahupun tempat-tempat bersejarah yang
telah diwartakan oleh UNESCO telah menambahkan lagi tarikan bagi
pelancong-pelancong luar untuk berkunjung ke negara ini. Ini sedikit sebanyak
telah membantu meningkatkan populariti destinasi-destinasi yang ingin mereka
lawati.
3. KEPENTINGAN
DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA
Industri
pelancongan merupakan salah satu aspek penting kepada pembangunan ekonomi dalam
negara kita. Jika dilihat dari sudut politik, ia amat memainkan peranan yang
penting kepada imej Malaysia. Antara yang dapat dilihat adalah apabila negara
menganjurkan sesuatu kejohanan ataupun acara di peringkat antarabangsa ianya
secara tidak langsung menggamit penyertaan daripada negara-negara yang bertanding.
Sebagai contoh apabila Malaysia menganjurkan sesuatu acara sukan, sudah tentu
penyertaan peserta yang bertanding akan hadir ke negara ini dan secara tidak
langsung telah membawa sekali bukan sahaja peserta bertanding malahan penyokong-penyokong
ataupun rakyat-rakyat negara terbabit yang ingin menyaksikan pertandingan
tersebut. Hubungan politik yang baik dan erat di antara Malaysia dan negara anggota telah mendekatkan
lagi hubungan politik yang telah terjalin selama ini. Dalam erti kata lain
ianya secara tidak langsung telah mempromosikan negara Malaysia ke mata dunia.
Layanan yang
baik dan ramah dari rakyat Negara ini telah terbukti ke seluruh dunia dan ini
membuatkan pelancong-pelancong yang datang berasa selesa apabila berkunjung ke
Malaysia. Keupayaan negara kita juga dalam menganjurkan sukan-sukan bertaraf
dunia telah membantu mempromosikan negara Malaysia ke seluruh dunia. Sebagai
contoh penganjuran Sukan bermotor seperti F1 dan MotoGP yang ditayangkan secara
langsung di serata dunia amat berkesan sekali membawa penonton mengenali
Malaysia seterusnya menarik minat mereka untuk datang ke sini untuk melancong.
Dari segi
ekonomi pula, pelancongan telah membantu menigkatkan ekonomi negara dengan cara
pengaliran wang asing yang masuk ke Malaysia oleh pelancong asing yang datang
ke negara ini. Mata wang asing yang ditukarkan ke Ringgit Malaysia untuk mereka
berbelanja dapat diniagakan kembali untuk tujuan ekonomi negara. Disamping itu,
dengan peningkatan pelancong asing ke dalam negara bermakna sektor perniagaan
juga dapat dijana dengan rancak apabila keperluan pelancong dipenuhi dengan
perniagaan penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan awam
mahupun khidmat jurupandu pelancong. Ini secara langsung telah menghidupkan
peluang-peluang perniagaan kepada pengusaha-pengusaha tempatan untuk terus
berdaya saing.
Berdasarkan
statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2015
perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 9.2 peratus kepada RM67,842 juta
berbanding RM62,151 juta pada tahun 2014. Ini disumbangkan oleh peningkatan
perbelanjaan oleh pelawat harian dan pelancong masing-masing mencatatkan
pertumbuhan sebanyak 13.7 peratus dan 6.9 peratus. Dari segi sumbangan,
membeli-belah kekal sebagai komponen perbelanjaan tertinggi bagi perbelanjaan
pelawat domestik dengan peratus sumbangan sebanyak 34.2 peratus iaitu RM23,192
juta. Ini membuktikan bahawa industri pelancongan telah banyak menyumbang dari
segi ekonomi kepada negara kita.
4. HALANGAN DAN CABARAN INDUSTRI
PELANCONGAN.
Industri
pelancongan di Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran-cabaran
dan halangan yang boleh menjejaskan situasi pelancongan di negara ini. Antara
halangan dan cabaran yang sering dihadapi termasuklah dari segi politik, sosial,
ekonomi mahupun keselamatan.
4.1 CABARAN
POLITIK
Sebagai
menjamin kelansungan industri pelancongan di negara ini terus maju dan berdaya
saing, kestabilan dari segi politik adalah salah satu factor yang penting yang
perlu diambil kira. Bagi menarik lebih ramai pelancong asing yang datang ke
dalam negara, keamanan dan kestabilan politik haruslah dikekalkan.
Ketidakstabilan
politik sesuatu negara terhadap industri pelancongan perlu dijadikan pengajaran
tentang betapa pentingnya suasana keharmonian negara dalam pertumbuhan industri
pelancongan.
Sebagai
contoh, jika berlaku pergolakan politik dalam negara maka ianya sedikit
sebanyak akan mempengaruhi bilangan pengunjung yang ingin datang melancong.
Perhimpunan-perhimpunan ataupun demonstrasi yang diadakan dijalan-jalan sekitar
Bandar-bandar besar dalam negara akan membuatkan pelancong-pelancong merasa
tidak selesa ataupun takut.
Ketidakstabilan
politik antarabangsa juga mampu mempengaruhi dan menggugat industry
pelancongan. Antara kesan-kesan yang dapat dilihat ialah berlaku pengurangan
dalam bilangan pelancong yang datang akibat kesan daripada liputan media-media
luar yang menjaja cerita-cerita yang tidak benar terhadap Malaysia. Dalam zaman
dunia tanpa sempadan ini berita-berita tersebar dengan pantas di media-media sosial
mahupun aplikasi-aplikasi dalam talian yang ada pada masa ini tanpa dibuktikan
kesahihan cerita-cerita tersebut.
4.2 CABARAN
SOSIAL
Negara
Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang penduduknya berpegang kepada
nilai-nilai ketimuran dan penuh adab sopan. Kedatangan pelancong-pelancong
asing ke negara ini sedikit sebanyak membawa kesan terhadap kehidupan sosial
kepada penduduk setempat. Isu moral pelancong asing di negara ini adalah
cabaran yang baharu kepada industri pelancongan. Sebagai contoh terdapat
kes-kes seperti pelancong asing berjemur tanpa pakaian dan separuh bogel di
tepi pantai peranginan dan terdapat juga pelancong yang berbogel di atas Gunung
Kinabalu, Sabah pada tahun lalu telah mandapat perhatian dan kritikan dari
pelbagai pihak. Keadaan-keadaan sebegini sebenarnya adalah satu cabaran yang
sukar untuk ditangani kerana perilaku pelancong asing ini tidak memahami budaya
negara ini atau dengan sengaja tidak mahu menghormati peraturan-peraturan yang
telah ditetapkan di setiap destinasi pelancongan yang terdapt dalam negara ini.
Walaupun setiap lokasi pelancongan di negara ini termasuklan pulau, pantai,
tempat bersejarah, tanah tinggi dan sebagainya telah mempunyai papan tanda dan
peraturan-peraturan yang ditulis dalam pelbagai bahasa bagi menasihati dan
mengingatkan setiap pelancong tentang apa yang boleh dilakukan dan apa yang
dilarang dikawasan tersebut.
4.3 CABARAN
EKONOMI
Keadaan
ekonomi negara juga mempengaruhi pergerakan industri pelancongan di Malaysia.
Melihat pada masa ini, keadaan ekonomi negara yang dipengaruhi oleh
ketidaksaeimbangan ekonomi dunia telah menjejaskan sedikit sebanyak pendapatan
pengusaha-pengusaha yang mengendalikan pusat-pusat destinasi pelancongan. Ini
merupakan tamparan hebat kepada industri ini kerana halangan-halangan yang
muncul telah mengganggu kelancaran perjalanan perniagan meraka. Walaupun nilai
matawang ringgit yang jatuh menjunam sedikit sebanyak menarik minat pelancong
untuk datang ke nagara ini namun aktiviti-aktiviti dalam negara yang ditawarkan
kepada pelancong dilihat sedikit terhad oleh kerana kekangan ekonomi yang
berlaku.
Ini
ditambah lagi dengan langkah-langkah penjimatan yang dilakukan oleh
agensi-agensi kerajaan yang selama ini banyak menyumbang kepada sektor
pelancong-pelancong tempatan. Sekatan daripada menggunakan fasiliti-fasiliti dari
hotel-hotel mahupun tempat-tempat penginapan di pelbagai destinasi-destinasi
pelancongan memberi impak yang besar terhadap pengusaha-pengusaha terbabit.
4.4 CABARAN
KESELAMATAN
Menurut
Michalko (2003), beliau telah menyatakan bahawa keselamatan dalam pelancongan
sebagai keselamatan diri pelancong dan harta benda mereka, termasuklah
kebolehan untuk mengetahui arah dalam persekitaran asing, memahami tanda sistem
tempatan, petunjuk dan konvensyen social serta keselamatan perkhidmatan
pengguna dan membeli belah. Pelancong yang datang ke sesuatu tempat akan
membuat tanggapan yang negative jika mereka berasa tidak selamat ataupun
terancam terhadap destinasi tersebut. Perkara-perkara seperti ini akan memberi
kesan yang tidak baik terhadap industri pelancongan dan akan mengurangkan kadar
pelancong yang datang ke sesuatu destinasi pelancongan itu.
Pengaruh
media juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi isu keselamatan ini.
Berita-berita yang tersebar melalui media-media social telah mempercepatkan
lagi sesuatu perkara atau keadaan keselamatan yang berlaku disesuatu tempat.
Walaupun ada unsur-unsur positif yang dapat diperolehi dari kemudahan yang
terdapat pada waktu ini namun terdapat juga perkara negatif yang terhasil. Ini
termasuklah penyebaran berita-berita palsu yang bercanggah dari keadaan sebenar
sesuatu tempat yang diperolehi dari sumber-sumber yang tidak dapat disahkan. Faktor-faktor
sebegini telah memberi tamparan hebat terhadap perkembanga industri pelancongan
di negara ini.
5. SISTEM
SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN
INDUSTRI PELANCONGAN
Umum mengetahui bahawa pada waktu ini keadaan ekonomi
dunia berada pada tahap yang tidak begitu baik namun industri pelancongan masih
lagi relevan bagi menjana pendapatan penting disamping hasil daripada sektor-sektor
penting negara ini. Industri pelancongan mampu memberi impak segera bagi
segenap sudut pendapatan kepada pengusaha-pengusaha terbabit sama ada kepada
pengusaha penginapan, pengangkutan mahupun makanan. Usaha ini berpotensi untuk
direalisasikan dengan penglibatan menyeluruh dari segenap sudut dan pihak agar
dapt bersama menggembleng tenaga bagi membangun dan memajukan industri
pelancongan di Malaysia.
Kerajaan
khususnya melalui Kementerian Pelancongan telah menjadi pemangkin kepada pengusaha-pengusaha
yang terlibat dalam industri ini di mana saban tahun telah menganjurkan
pelbagai aktiviti dan bantuan kepada mereka. Negara Malaysia yang terkenal
dengan ekopelancongan yang mempunyai pantai-pantai antara tercantik di dunia
dan hutan hujan tropika yang mempunyai tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang
unik. YAB Perdana Menteri juga dalam blognya telah menyatakan bahawa pihak
kerajaan akan sentiasa berusaha untuk mengembangkan sektor pelancongan bagi
memangkin ekonomi negara dalam keadaan ekonomi tiodak menentu ini.
Bajet 2017
yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini juga telah mengumumkan
untuk memperluaskan lagi eVisa ke negara di rantau Balkan dan Asia Selatan. Ini
berikutan tindakan kerajaan yang sebelum ini telah meluaskan eVisa ke China dan
India memperolehi hasil yang sangat positif. Merujuk kenyataan yang dinyatakan
oleh Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis
sebagai berkata “Inisiatif meluaskan eVisa ke rantau Balkan dan Asia Selatan
dilihat mampu merancakkan jumlah kemasukan pelancong asing ke negara ini”
(Bernama, 21 Oktober 2016). YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan dana
sebanyak RM400 juta akan disalurkan kepda sector pelancongan bagi memberi
tumpuan ke atas promosi dan penambahbaikan kemudahan pelancongan.
Pihak kerajaan
juga melalui agensi-agensi berkaitan telah menyediakan skim bantuan dan
pembiayaan sebagai langkah untuk menyokong penglibatan syarikat-syarikat
mahupun individu yang terlibat dalam industry pelancongan di negari ini dengan
menyediakan skim-skim bantuan kerajaan yang pelbagai antaranya adalah Tabung
Infrastruktur Pelancongan, Tabung Khas Pelancongan, Pembiayaan Industri Kecil
dan Sederhana oleh Institusi Kewangan Kerajaan, Program Promosi Industri Kecil
Sederhana (SMIPP) dan sebagainya.
Disamping itu,
pihak-pihak swasta juga tidak ketinggalan dalam memberi sokongan terhadap
industri pelancongan ini dengan menawarkan pelbagai kemudahan dan tawaran
latihan kepada pengusaha-pengusaha perkhidmatan pelancongan. Usaha-usaha
sebegini dilihat mampu mempertingkatkan lagi kemantapan aspek pembangunan
industri pelancongan disamping berkolaborasi dengan pihak kerajaan agar industri
ini tidak malap dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.
6. LANGKAH-LANGKAH
UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Walaupun kita dapat
melihat perbezaan penurunan kehadiran pelancong yang datang ke Malaysia dari tahun 2014 ke tahun 2015 iaitu sebanyak
25.7 juta pelancong berbanding 27.44 juta pada 2014 di mana sebanyak 6.3
peratus yang dikeluarkan oleh Toursim Malaysia ini tidak mematahkan semangat
pengusaha-pengusaha industri pelancongan yang ada di Malaysia. Pelbagai
inisiatif dan langkah-langkah diambil oleh pihak kerajaan dan swasta untuk
terus membangunkan sektor pelancongan di negara ini.
Kementerian Pelancongan
terutama melalui Tourism Malaysia sedang giat melakukan pelbagai usaha bagi
menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke Malaysia dengan penganjuran
pelbagai acara dan kempen di luar negara mahupun dalam negara. Dengan adanya
sokongan yang padu daripada YAB Perdana Menteri melalui Bajet 2017 yang
memperuntukkan sebilangan besar peruntukan untuk membangunkan industri
pelancongan sedikit sebanyak memberi nafas baru untuk industri ini terus berkembang.
Dengan adanya tarikan-tarikan terbaru yang diwujudkan di dalam negara ini
sedikit sebanyak telah mendatangkan minat untuk pelancong untuk datang
berkunjung. Ini dapat memberi pilihan dan alternatif selain daripada tempat
yang terkenal untuk dilawati.
Sistem
perkhidmatan pengangkutan yang ditambah baik dari semasa ke semasa telah
menunjukkan betapa seriusnya pihak kerajaan untuk memantapkan lagi industri
pelancongan. Antaranya dengan siapnya sistem rel berkembar yang membolehkan
sistem pengangkutan ETS ditambah perkhidmatannya ke utara tanah air agar lebih
memudahkan dan melancarkan perjalanan yang dapat dipendekkan tempoh masa
perjalanan serta memberi pilihan kepada pelancong untuk menggunakan pengangkutan
tersebut ke destinasi-destinasi pelancongan yang ada disepanjang kawasan
tersebut. Ini sekaligus dapat menjimatkan masa untuk perjalanan jauh bagi
pelancong. Pertambahan jaringan LRT dan MRT juga amat membantu dalam menarik
minat dan kemudahan pelancong yang datang ke Malaysia. Keselesaan, keselamatan
dan ketepatan perkhidmatan pengangkutan awam juga penting bagi pelancong untuk
bergerak ke destinasi-destinasi pilihan mereka.
Penganjuran acara-acara
seperti Floria, MAHA dan sebagainya adalah salah satu cara yang amat berkesan
sekali menarik pelancong. Dengan adanya kemudahan media-media sosial
maklumat-maklumat tentang karnival atau acara ini dapat dipromosikan dengan
lebih efektif dan cepat disamping cara-cara pengiklanan sedia ada. Ini amat
membantu dalam menyalurkan maklumat kepada pelancong yang ingin mengetahui
dengan lebih lanjut lagi tentang acara-acara pelancongan yang akan diadakan di
negara ini.
Selain itu juga,
tempat-tempat pelancongan ini haruslah dijaga rapi agar ia sentiasa terkawal
dan menarik. Keselamatan, kebersihan dan keselesaan setiap pengunjung harus
diambil kira supaya imej negara sentiasa disanjung di seantero dunia.
Pelancong-pelancong yang datang juga akan sama-sama mempromosikan negara ini
kepada rakan-rakan mereka tentang tarikan dan keunikan destinasi-destinasi
terseut kepada rakan-rakan mereka. Secara tidak langsung dapat menambahkan lagi
jumlah pelancong yang akan datang berkunjung seterusnya mambantu membangunkan
industri pelancongan Malaysia.
7. KESIMPULAN
Ternyata sekali industri pelancongan
mampu untuk menigkatkan tahap ekonomi negara ini. Langkah-langkah yang proaktif
daripada semua pihak adalah perlu bagi menjayakan industri pelancongan di
negara ini. Pengglembengan tenaga terutama dari pihak kerajaan, swasta dan
individu haruslah sentiasa seiring bagi industri pelancongan ini terus berdaya
saing dan maju bagi menjayakan matlamat wawasan negara.
Walaupun dalam
senario ekonomi yang tidak menentu tetapi industri pelancongan masih dapat
bertahan dengan adanya kepelbagaian segmen tarikan pelancongan yang disajikan
dan ini memberi kelebohan kepada negara ini untuk menawarkan produk pelancongan
yang lebih berdaya saing. Kestabilan politik, social, ekonomi dan keselamatan
yang baik dan perlu dikekalkan akan dapat menjamin bahawa negara ini akan
menjadi destinasi utama pelancong asing.
Dalam kita
mengalu-alukan pelancong asing, kita juga perlu bertegas agar peraturan, adab
sopan dan budaya negara ini kekal terpelihara. Diharap agar industri
pelancongan di negara ini dapat terus berkembang seterusnya mendatangkan
pulangan yang lumayan kepada pendapatan negara dan rakyat Malaysia.
RUJUKAN
T. Logeswaran (2015). Isu Keselamatan Dalam Industri Pelancongan:
Satu Tinjauan Konsep. Malaysian
Journal of Society and Space, 11 Issue 12 (2015),
32- 41
Laman
sesawang: https://www.utusan.com.my/rencana/merancakkan-sektor- pelancongan-negara-1.154155 diakses pada 28 November 2016.
Laman
sesawang: https://www,motour,gov.my
diakses pada 28 November 2016.
Lamanweb:https://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=12945 01 diakses pada 28 November 2016.