* Konsep pelancongan dalam bentuk ‘matahari-laut-pemandangan’ atau “3S” (sun-sea-scenery) masih lagi menjadi tumpuan utama tarikan pelancong.* *Perniagaan francais semakin meningkat setelah diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1992.* *Faedah e-dagang dan memberi keuntungan atau “win-win situation” baik bagi peniaga dan pengguna.*
Friday, 25 November 2016
Industri Pelancongan Di Malaysia
1. PENGENALAN
Sektor
pelancongan adalah merupakan salah satu daripada dua belas Bidang Ekonomi Utama
Negara (NKEA) yang telah dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada ekonomi
Malaysia. Keupayaan di dalam industri pelancongan telah terbukti di mana negara
telah dinobatkan sebagai antara sepuluh destinasi pelancongan terkenal di
dunia. Kerajaan akan meneruskan usaha untuk membawa sektor pelancongan dan
kebudayaan ke peringkat yang lebih tinggi. Hal Ini adalah selaras dengan
aspirasi negara di bawah Malaysia Tourism
Transformation Plan yang mensasarkan kedatangan seramai 36 juta pelancong
dan menjana pendapatan sebanyak RM168 bilion pada tahun 2020.
Sektor
pelancongan menfokuskan projek pelancongan yang mendatangkan hasil yang lumayan
serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam meningkatkan
peluang-peluang pekerjaan yang berasaskan Pembangunan hotel, Projek pelancongan
yang dirangka adalah digalakkan selaras dengan usaha untuk mempromosikan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing dan pusat serantau
bagi perdagangan dan perniagaan.
Industri pelancongan negara telah berkembang
dengan begitu pesat sekali. Sektor ini juga dijangka akan terus berkembang pada
masa depan. Dewasa ini, walaupun banyak destinasi pelancongan lain yang
pelbagai telah dibangunkan, namun keunikan Malaysia sebagai kawasan yang wajib
dilawati masih menjadi sasaran tinggi dalam pelancong.
2. PEMBANGUNAN
INDUSTRI
Jabatan Pelancongan mula ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan
Malaysia pada tahun 1959. Penglibatan sektor pelancongan dalam Rancangan
Malaysia Ke-2 1971-1975 telah menekankan peri pentingnya peranan yang dimainkan
industri pelancongan dalam ekonomi Negara.
Akta Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia 1972 telah diluluskan oleh
Parlimen dengan persetujuan Diraja. Dengan kelulusan ini, Perbadanan menjadi
sebuah badan berkanun. Menteri Perdagangan dan Perindustrian akan melantik
Ahli-ahli Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab untuk menjalankan Perbadanan
dan pentadbiran am. Garis-garis panduan yang ditetapkan oleh Perbadanan adalah
seperti memperkenalkan Malaysia dalam pasaran antarabangsa dan serantau,
menambahkan bilangan perjalanan antara negeri oleh rakyat Malaysia sendiri bagi
menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri, terlibat dalam proses
pembangunan fizikal industri pelancongan dan menjalani tugas-tugas yang
berkaitan dengan pelancongan antarabangsa dan serantau.
Disamping itu, dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan
berkolaborasi dengan pihak-pihak swasta untuk membangunkan produk-produk baru.
Pada tahun 1994, kerajaan telah melancarkan Tahun melawat Malaysia 1994 dengan
menawarkan 170 program dan acara yang merangkumi kebudayaan, kesenian,
kraftangan, perayaan kebangsaan, pameran, sukan dan konvensyen. Pelbagai
aktiviti menarik telah disediakan. Pameran Maritim dan Udara (LIMA) dan
Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi adalah contoh aktiviti tersebut.
Aktiviti-aktiviti seperti ini perlu mempunyai perancangan yang teliti supaya
dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Hal
ini, dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan
bahawa Malaysia cemerlang dalam bidang pelancongannya. Dalam usaha
mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia, yang selari
dengan slogan "Malaysia, Truly Asia". Kementerian Pelancongan dan
Kebudayaan Malaysia menyediakan kemudahan pembiayaan pinjaman Dana Pelancongan
iaitu Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan. Tujuan Dana ini adalah
untuk membantu pengusaha yang ingin membangunkan atau mengembangkan
produk-produk pelancongan. Sebagai contoh, tembikar dan lain-lain lagi yang
boleh dijadikan cenderamata kepada pelancong yang melawat ke sesebuah kawasan
di Malaysia.
Pembangunan dalam industri pelancongan ini mendatangkan lima faedah utama
kepada sesebuah negara. Antara faedah yang diperolehi adalah sumbangan kepada
imbangan pembayaran negara, pembangunan kawasan bukan perindustrian, kewujudan
peluang pekerjaan, pembangunan sosial seterusnya meningkatkan pendapatan kepada
keseluruhan ekonomi menerusi impak berganda.
Galakan cukai diberi kepada pengusaha pelancongan yang mengendalikan pakej
pelancong domestik yang mengendalikan pakej pelancongan dalam Malaysia dengan
bilangan yang ditetapkan untuk tempoh setahun boleh membuat permohonan kepada
Kementerian Pelancongan untuk sokongan bagi pengecualian cukai daripada Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN). Tarikh kuatkuasa permohonan pelepasan cukai adalah
mulai tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.
Tertubuhnya Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) pada Ogos 1972, sebagai
sebuah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan sektor pelancongan
dan rekreasi negara menunjukkan Industri pelancongan mulai diberikan perhatian
serius. Hal ini demikian kerana, sebelum itu, pihak kerajaan lebih memberi
tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan memfokuskan kepada tahap kestabilan
negara. Persidangan Kesatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur
pada tahun 1972, telah membuka laluan yang lebih luas kepada industri
pelancongan. [1]
Pada tahun 1986, Perdana Menteri, Y.A.B
Dato’ Seri Dr. Mahathir dalam ucapan
perasmiannya menyatakan bahawa untuk membangunkan
industri pelancongan kerajaan setiap negara
hendaklah bertanggungjawab menjamin kestabilan
politik dan mengenakan peraturan minimum
untuk pelawat-pelawat asing supaya lebih
ramai pelancong berminat mengunjungi negara
mereka. Perasmian Persidangan Tahunan Persatuan
Pelancongan Kawasan Pasifik ini merupakan
kali kedua diadakan di Malaysia sejak 1972.
Penubuhan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah dilaksanakan pada
tahun 1987. Kementerian tersebut seterusnya dinaiktarafkan kepada Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada tahun 1990. Dengan penubuhan
kementerian ini, ia dapat merancakkan lagi pembangunan dalam industri
pelancongan (Marzuki A., 2010).
Melalui kejayaan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, ia membawa kepada
peningkatan sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun
selepas kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 dengan cara menggalakkan
aliran masuk wang ke dalam negara dan mengurangkan aliran keluar mata wang
negara seterusnya memulihkan krisis ekonomi negara. Pelbagai inisiatif telah
diambil kerajaan untuk mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas yang berkaitan
dengan industri pelancongan.
Pembangunan industri pelancongan di negara ini pada masa kini telah
mencapai pada tahap yang boleh dibanggakan. Peningkatan dalam industri ini
adalah dibantu oleh kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan.
Konsep pelancongan yang telah lama wujud dalam bentuk
‘matahari-laut-pemandangan’ atau “3S” (sun-sea-scenery) masih menjadi
tumpuan utama tarikan pelancong, walaupun terdapat banyak langkah diambil untuk
memaju dan mempromosikan potensi pelancongan bentuk lain seperti ‘eco-tourism,
agro-tourism, geo-tourism, archaeotourism, education-tourism,
health-tourism’ dan banyak lagi untuk mempelbagaikan destinasi pelancongan.
Sektor pelancongan di negara ini juga giat memajukan beberapa aspek yang
berkaitan dengan keperluan industri ini, umpamanya mempertingkatkan keupayaan
tenaga kerja dalam sektor ini melalui latihan; pembangunan produk pelancongan
seperti mempromosikan Malaysia sebagai destinasi peranginan bukit dan pulau,
destinasi membeli-belah, dan upacara-upacara bertema. Promosi juga giat
dijalankan untuk pelancongan sukan dan rekreasi, pelancongan ekologi,
pelancongan pertanian dan program tinggal di rumah angkat, pelancongan budaya dan
warisan, dan pelancongan pendidikan serta kesihatan. Malahan pihak kerajaan dan
sektor swasta juga mengambil langkah mempertingkatkan kemampuan negara sebagai
destinasi pameran, mesyuarat dan persidangan melalui pelbagai insentif.
Pelancongan pinggir pantai telah dikenalpasti
sebagai salah satu daripada empat jenis pelancongan utama (United Nations. 1995). Bagaimanapun, seperti lain-lain bentuk
pembangunan, pelancongan juga mempunyai batas-batas tersendiri terutamanya
dalam konteks kemampuan sesuatu destinasi untuk menarik serta menampung
kedatangan pelancong. Kawasan pinggir pantai menjadi tumpuan utama kerana
faktor-faktor keunikan kawasan pinggir pantai tersendiri. Kawasan pinggir
pantai di Malaysia mempunyai daya tarikan pantai yang indah, terumbu karang,
pulau dan sinaran matahari sepanjang tahun, menjadi sebagai salah satu daripada
kawasan yang mempunyai kemampuan untuk memenuhi permintaan untuk tujuan
pembangunan pelancongan, rekreasi dan peranginan. Terdapat beberapa tempat yang
menarik yang mampu menjadi tarikan pelancong dan juga untuk tujuan pembangunan
pelancongan. Contoh Pulau Hentian, Bukit Tinggi, Gunung Kinabalu dan lain-lain
yang terdapat di Malaysia. Tarikan pelancong bukan hanya bergantung pada pantai
dan persekitarannya, tetapi juga disebabkan keunikan terumbu karang, dan paya
bakau yang kaya dengan kepelbagaian flora dan faunanya. Alam semulajadi yang
indah, unik dan pelbagai seperti hutan hujan tropika, iklim dan cuaca yang
tidak melampau, banjaran gunung, pulau dan pantai yang cantik dan fauna
merupakan antara tarikan kekuatan yang dimiliki di Malaysia.
3. KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI
PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA.
Apabila Tahun Melawat Malaysia telah diisytiharkan oleh kerajaan pada tahun
1990, ia memperlihatkan usaha kerajaan didalam memberikan perhatian terhadap
industri pelancongan yang berpotensi untuk memajukan negara. Statistik bilangan
pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat saban tahun. Justeru itu,
usaha mempromosikan Malaysia terhadap pelancong asing merupakan usaha yang
memberikan kebaikan kerana industri pelancongan di negara ini dan mempunyai
kepentingan dan sumbangannya yang tersendiri terhadap pembangunan ekonomi
negara.
Mathieson & Wall (1982), mengatakan
bahawa pelancongan melibatkan pergerakan sementara manusia kepada destinasi di
luar tempat kerja biasa dan tempat tinggal. Antara industri yang terbesar dan
paling menguntungkan sejak beberapa dekad yang lalu. Industri ini mampu menjana
ratusan industri lain yang bergantung sama ada secara langsung ataupun tidak
langsung dengannya dan mewujudkan jutaan pekerjaan dan pembahagian pendapatan.
Industri pelancongan, umpamanya akan melibatkan industri pembinaan, perhotelan,
pengangkutan, industri pembuatan, industri makanan dan pelbagai industri
perkhidmatan yang lainnya. Langkah memajukan ekonomi seiring dengan proses
globalisasi telah mendorong banyak negara untuk membangunkan sektor pelancongan
untuk mempertingkatkan kemasukan mata wang asing.
Kepentingan industri pelancongan di negara ini amat jelas berdasarkan
sokongan yang diberikan oleh kerajaan terhadap sektor ini. Semasa Rancangan
Malaysia ke-7, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 605.5 juta untuk
pembangunan pelancongan (Jadual 2), dan untuk Rancangan Malaysia ke-8 kerajaan
telah memperuntukkan lebih daripada RM satu bilion, iaitu pertambahan hampir 67
peratus daripada peruntukan sebelumnya.
Salah satu kepentingan utama industri pelancongan ialah menyumbang kepada
pendapatan negara. Kehadiran pelancong membawa kepada pertumbuhan dan
pendapatan negara. Pelancongan menjadi
penggerak utama tukaran mata wang sesebuah negara dan memperolehi kadar pulangan tukaran mata wang yang
tinggi. Setiap pelancong yang berbelanja untuk kemudahan asas ketika melancong
akan menambahkan pendapatan negara dan dapat digunakan untuk pembangunan
ekonomi dan kemudahan-kemudahan pelancongan di negara ini.
Industri pelancongan juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas. Industri
pelancongan memerlukan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan seperti pekerja
hotel, pemandu pelancong, peniaga makanan dan minuman, peniaga dan pembuat
barangan kraf tangan dan sebagainya. Oleh itu, kekosongan pelbagai jawatan akan
terbuka luas.
Kegiatan pelancongan yang aktif akan memudahkan kerajaan dalam menarik
minat pelabur asing untuk melabur di negara ini. Disamping menarik pelabur
untuk melabur dalam bidang pelancongan, industri ini juga dapat menarik pelabur
untuk melabur dalam bidang-bidang lain seperti pengangkutan, pembuatan makanan,
pembinaan dan sebagainya
4. HALANGAN/ CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN
Pelbagai
tragedi yang berlaku terhadap Malaysia pada tahun 2014 telah memberi kesan
buruk terhadap industri pelancongan Negara. Cabaran ini dilihat telah mengugat
jumlah kedatangan pelancong dan penjanaan hasilnya sepanjang tahun 2014, namun
usaha keras yang dimainkan oleh Kementerian Pelancongan terutamanya melalui Tourism Malaysia, telah meningkatkan
keyakinan pelancong dari lain-lain negara selain China, untuk terus memilih
Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.
Rentetan daripada tragedi tersebut, negara telah menyaksikan penurunan
jumlah kedatangan pelancong dari negara China disebabkan oleh kepercayan mereka
yang terjejas terhadap keselamatan negara ini. Penurunan ini dapat dibuktikan
dengan pasaran China yang menurun sebanyak 11.8% bagi tempoh awal kejadian
iaitu Januari hingga Julai tahun 2014 berbanding tempoh sama pada tahun 2013.
Sehingga akhir tahun 2014, kemerosotan ini masih juga berlaku dengan penurunan
sebanyak 9.9 peratus. Perkara ini adalah sangat membimbangkan keranan pelancong
dari negara China adalah merupakan antara yang teratas statistik jumlah
pelancong yang tertinggi di Malaysia.
Industri
ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang dilihat telah menggugat jumlah
kedatangan pelancong dan penjanaan hasilnya sepanjang tahun 2014. Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sehingga
April lepas, sebanyak 76 penerbangan berjadual dan sewa khas dari China ke Kota
Kinabalu telah dibatalkan. MAS telah membatalkan 10 penerbangan berjadual dari
Shanghai-Kota Kinabalu, manakala syarikat penerbangan China, Southern Airlines membatalkan 22
penerbangan berjadual dari Shenzen-Kota Kinabalu, Penerbangan tambang murah
Spring Airlines pula membatalkan 44 penerbangan dari Shanghai ke Kota Kinabalu.
Bagi
mengimbangi kekurangan pelancong China ke negara ini, kementerian telah
menggariskan strategi jangka pendek melalui Tourism Malaysia dengan
mempertingkatkan promosi di pasaran jarak sederhana. “Kementerian telah
meningkat kempen di negara-negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia,
Brunei, Filipina, India, Bangladesh, Kuwait, Oman, Qatar, Australia dan New
Zealand, selain itu sebuah jawatankuasa pengurusan krisis telah ditubuhkan oleh
Tourism Malaysia untuk menangani pasaran pelancongan China selain berinteraksi
secara aktif dengan pengusaha industri untuk mengembalikan keyakinan pelancong
China ke Malaysia[2].
Usaha-usaha
ini terbukti, apabila jumlah pelancong dari negara lain seperti Singapura,
Indonesia, Korea dan pelancong-pelancong dari Barat dan Asia Barat dilihat
meningkat walaupun selepas insiden kemalangan MH370 dan MH17. Data terkini yang
dikeluarkan oleh “Tourism Malaysia”,
sehingga Disember 2014, mencatatkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia telah
meningkat sebanyak 6.7 peratus menjadi seramai 27.4 juta pelancong. Keadaan ini
jelas menunjukkan bahawa industri pelancongan Malaysia masih berdaya saing.
Kempen-kempen yang dijalankan oleh Tourism
Malaysia untuk mengembalikan kepercayaan pelancong China, walaupun masih
belum membuahkan hasil yang memberangsangkan namun, ianya sedikit sebanyak
telah mengorak langkah kearah masa hadapan industri ini yang lebih positif[3].
5. SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN
SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
Potensi industri pelancongan untuk menjadi penjana ekonomi negara hanya
dapat direalisasikan jika segala usaha untuk membangun dan memajukan industri
pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Kejayaan yang diterima industri
pelancongan bukanlah semata-mata disebabkan oleh kempen dan promosi galakan di
dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga adalah disebabkan daripada pengalaman
pelancong itu sendiri ketika melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang
mempunyai pengalaman yang baik ketika melancong ke Malaysia akan turut
mempromosikan negara Malaysia sebagai negara yang patut dilawati kepada orang
lain (Yahya R., 2009).
Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) adalah salah satu pertubuhan
yang ditubuhkan untuk menyokong aktiviti pelancongan ini. PATA mempunyai
pengaruh yang besar dalam industri pelancongan telah mengadakan persidangan
tahunannya di Malaysia. PATA memainkan peranan yang penting dalam memulihkan
kepercayaan masyarakat dunia terhadap keindahan negara Malaysia melalui
pelbagai promosi yang dibuat di seluruh dunia. Pada tahun 1992, PATA telah
menggariskan Kod Tanggungjawab Sektor Pelancongan Terhadap Alam Sekitar
(KTSPTAS) sebagai panduan perancangan dan pelaksanaan kegiatan pelancongan yang
lebih mesra alam di seluruh dunia.
Sistem ‘tagal’ juga merupakan salah satu sistem yang digunakan dalam
menyokong industri pelancongan di Malaysia. Sistem tagal adalah satu kaedah
pengurusan biosfera yang popular di Sabah. Ia juga dikenali sebagai bombon yang
bermaksud jangan dalam bahasa Kadazandusun. Ia merupakan satu kaedah
tradisional yang telah diubahsuai menjadi satu sistem pengurusan yang lebih
tersusun di bawah pemantauan Jabatan Perikanan negeri Sabah.
Berdasarkan sistem ini, penggunaan sumber semulajadi dihadkan dengan
mengaplikasikan zon rizab dan juga limitasi penuaian sumber sungai khususnya.
Amalan pengurusan ini juga telah diperluaskan kepada lebih ramai komuniti
sekaligus membantu menjadi satu sistem pengurusan yang bukan sahaja untuk
pemuliharaan alam sekitar tetapi sebagai sebuah ‘produk’ yang menyumbang kepada
ekonomi dan sosial komuniti pelaksana. Ini merupakan salah satu pendekatan
dalam utilitarian sumber semulajadi tempatan (Foo J., 2011).
6. LANGKAH - LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN
MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Industri pelancongan perlu digembleng untuk menjadi antara industri yang
berdaya saing yang mampu meningkatkan pendapatan KDNK negara. Oleh itu,
langkah-langkah untuk mendorong dan membangunkan industri pelancongan perlu
diambil sewajarnya.
Langkah melaksanakan pelancongan Pendidikan sebagaimana yang dihasratkan
oleh kerajaan didalam mencapai cita-cita untuk meletakkan Malaysia sebagai
pusat kecemerlangan pendidikan di rantau Asia Pasifik dan atas matlamat itu, perlu
dilakukan. Atas perlaksanaan yang dirangka itu, pelbagai kemudahan dan
infrastruktur dan kemudahan pendidikan telah diwujudkan. Institut Pengajian
Tinggi Awam dan Swasta serta program usahasama dengan institut pengajian tinggi
di luar negara semakin giat diadakan untuk menarik lebih ramai pelajar asing
untuk menyambung pengajian di Malaysia. Kestabilan politik, situasi dalam
negara yang aman, kemajuan teknologi dan penyelidikan serta kadar tukaran asing
yang rendah dianggap sebagai faktor-faktor yang menjadikan Malaysia
persekitaran yang begitu kondusif untuk tujuan pembelajaran. Keharmonian kaum
juga membuktikan bahawa masyarakat Malaysia bersedia menerima pelajar dari apa
jua latar belakang agama dan budaya.
Selain itu, Agro-pelancongan adalah satu konsep pelancongan yang berkembang
pesat kerana Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor
pertanian dan perladangan kepada para pelancong. Malaysia sebagai negara yang
kaya dengan hasil pertanian mempunyai hasil bumi yang subur dan pelbagai.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini adalah lawatan
ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya.
Disamping itu, Pelancongan Sukan juga telah membawa Malaysia giat
mempromosikan diri sebagai penganjur dan tuan rumah kepada pelbagai kejohanan
sukan dan aktiviti rekreasi bertaraf dunia, seterusnya menjadikan Malaysia
destinasi utama pelancongan sukan di rantau Asia Pasifik. Penganjuran sukan
seperti Sukan Komanwel 1998, Formula 1, Powerboat,
Le Tour De Langkawi dan sebagainya adalah sebahagian daripada acara sukan
yang mendapat pengiktirafan dunia. Penyediaan kemudahan dan infrastruktur sukan
yang lengkap dan canggih menjadikan Malaysia sentiasa bersedia untuk
menganjurkan apa jua kejohanan sukan. Kompleks Sukan Negara dan Litar F1 Sepang
contohnya adalah infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa yang kini menjadi
tumpuan acara-acara sukan terkemuka. Malaysia juga dikurniakan dengan alam
semulajadi yang bukan sahaja indah malah begitu sesuai untuk pelbagai aktiviti
berteraskan adventure sports. Hal Ini
menggalakkan penyertaan pelancong yang mempunyai minat khas untuk datang dan
mengalami sendiri aktiviti sukan dalam persekitaran yang begitu mencabar.
Selain itu, Malaysia juga memiliki lebih daripada 250 padang golf di seluruh
negara yang menjadi tarikan mereka yang menggemari sukan golf. Kualiti yang
disediakan juga bertaraf antarabangsa.
Langkah seterusnya, kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di
negara kita disediakan dengan perancangan yang baik untuk kemudahan pengguna. Sebagai
contoh, keretapi laju (ETS) adalah salah sebuah projek pengangkutan yang
berkaitan dengan bidang pelancongan ini. ETS yang jauh lebih laju daripada
keretapi biasa dapat menarik pelancong untuk menaikinya untuk menuju ke
destinasi berjarak jauh di Malaysia. Ia dapat menjimatkan masa para pelancong
dan masa tersebut boleh digunakan untuk melakukan aktiviti pelancongan. Contoh
dari Kuala Lumpur ke Padang Besar. Selain dari ETS, kemudahan bot ataupun feri
dapat menarik bilangan pelancong untuk mengunjungi pulau-pulau peranginan yang
terdapat di Malaysia ini. Contohnya, perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi telah
dinaiktarafkan dengan feri yang boleh membawa penumpang dengan kenderaan ke
pulau tersebut. Dengan itu, ia lebih memudahkan pergerakan para pelancong
kerana mereka tidak perlu untuk menyewa kenderaan lagi ketika berada disana
(Johan M., 2015).
7. KESIMPULAN
Pelbagai langkah dapat dirancang dan dilaksanakan untuk menaikkan industri
pelancongan Malaysia. Semua pihak tidak kira kerajaan, swasta mahupun orang
persendirian haruslah membantu mempromosikan Malaysia sebagai salah satu
destinasi pelancongan yang hebat. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan
kepelbagaian budaya kaum-kaum di negara ini akan menjadi sia-sia dan tidak
dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan dan luar negara.
Konklusinya, industri pelancongan terbukti mendatangkan pelbagai faedah
kepada pembangunan negara. Justeru, semua pihak perlu berganding bahu bagi
memastikan impian negara untuk menjadi sebuah destinasi pelancongan utama di dunia
dan rantau ini terus subur. Selain itu, sumbangan sektor ini dari segi penjanaan hasil, amat menggalakkan. Pelancongan adalah satu industri yang sangat penting untuk
jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.
Oleh itu, dapat disimpulkan
sektor pelancongan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ekonomi
sesebuah negara. Usaha-usaha dan pelbagai strategik daripada pelbagai pihak
penting untuk memperkasakan industri pelancongan di mata dunia dan seterusnya
mengukuhkan kedudukan industri pelancongan di Malaysia dipersada antarabangsa.
RUJUKAN
Foo J., (2011). Sistem
Tagal dalam Industri Pelancongan: Manfaat Kepada Komuniti. Malaysia Journal of
Society and Space, 7(1),
14-15.
Jahi, j. M. (2009).
Pembangunan Pelancongan dan Impaknya terhadap Persekitaran Fizikal Pinggir
Pantai. Malaysian Journal of Environmental Management , 71-88.
Johan M. (2015).
Industri Pelancongan Malaysia Masih Berdaya Saing. Diambil dari https://www.mier.org.my/newsarticles/archives/pdf/musalmah28_4_2015.pd
Kementerian Pelancongan
dan Kebudayaan Malaysia. (2013). Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan.
Diambil dari
http://www.motour.gov.my/muat-turun-borang/doc_view/26-borang-permohonan-lesen-tambahan.raw?tmpl=component
Ling, N. G. (2012).
Faktor yang mempengaruhi kunjungan ulangan pelancong. Malaysian Journal of
Science and Space , 1-11.
Majed M.J. (2015, Jun
12). Cabaran Industri Pelancongan Negara. Utusan Online, Diambil dari
http://www.utusan.com.my/rencana/cabaran-industri-pelancongannegara-1.101769
Mathieson, A. &
Wall, G. 1982. Tourism: Economic, Physical and Social Impacts. New York:
Longman.
Salleh, N. H. (2016).
Analisis Keperluan Tenaga Manusia dalam Industri Pelancongan di Malaysia.
Malaysian Journal of Mathematical Sciences , 161-174.
Sinar Online (2014,
April 17). Insiden MH370 Jejas Ketibaan Pelancong China. Diambil dari
http://www.sinarharian.com.my/nasional/insiden-mh370-jejas-ketibaanpelancong-china-1.271606
Sufian Mohd Sharip.
(2016, Julai 28). Tahap Pembangunan Industri Pelancongan di ambil
dari http://sufianblogindustripelancongan.blogspot.my/2016/07/tahap-pembangunan-industri-pelancongan.html
United Nations. 1995.
Guidelines on environmentally sound development of coastal tourism. New York:
United Nations.
Yahya R. (2009).
Industri Pelancongan Di Malaysia. Diambil dari
http://ramlibinyahya.blogspot.my/2009/07/industri-pelancongan-di-malaysia.html
[1] Persidangan Tahunan Ke-35 Persatuan
Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) ini merupakan kali kedua diadakan di
Malaysia sejak 1972 ini, telah disiarkan
secara langsung oleh Radio dan Televisyen
Malaysia (RTM) ke seluruh negara
[2] Diakses pada 15 November 2016 di laman
sesawang
http://www.theborneopost.com/2014/06/18/insiden-penculikan-di-sabah-jejas-kedatangan-pelancong-china/
[3] Diakses pada 16 November 2016 dilawan sesawang https://www.mier.org.my/newsarticles/archives/pdf/musalmah28_4_2015.pdf
mengenai Industri Pelancongan Malaysia Masih Berdaya Saing oleh Musalmah
Johan. Pegawai Penyelidik Kanan. Institut Penyelidikan Ekonomi
Malaysia (MIER) Industri Pelancongan Malaysia Masih Berdaya Saing oleh Musalmah
Johan. Pegawai Penyelidik Kanan. Institut Penyelidikan Ekonomi
Malaysia (MIER)
Tuesday, 15 November 2016
Pengenalan e-Dagang
1.0 Pengenalan e-Dagang
Elektronik Dagang atau juga dikenal
sebagai e-Dagang atau eDagang merupakan satu kemudahan perdagangan atau
perniagaan sesuatu produk atau servis dengan menggunakan kaedah jaringan
komputer seperti internet atau jaringan sosial dalam talian. Secara ringkas, boleh juga dikatakan ia satu
platform bagi seseorang peniaga untuk melakukan
aktiviti jual beli dalam talian, tidak kiralah dalam memasarkan produk
atau servisnya.
Menurut Wikipedia, Perdagangan elektronik atau e-dagang (Bahasa Inggerisnya
disebut sebagai E-commerce) merujuk kepada perniagaan atau perdagangan yang
menggunakan peralatan dan infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat
sebagai medium untuk tujuan komunikasi dan juga transaksi. Melalui konsep
e-dagang ini, masa kerja dan urusniaga menjadi lebih fleksibel, peniaga boleh
memiliki pertubuhan/pejabat maya atau hanya beroperasi di rumah, pasaran
perniagaannya adalah lebih meluas iaitu serata dunia dan ia berjalan 24 jam
tanpa henti.
Sejarah
kemunculan internet bermula pada era 60-an dan e-dagang juga berkembang sejak
itu, pada tahun 1969. Internet lahir pada tahun 1969 di Amerika iaitu kelompok
peneliti berhubungan dengan empat komputer di UCLA, Stanford Research Institut,
Universiti Utah dan Universiti California di Santa Barbara. Mereka telah
mencipta sebuah jaringan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain yang di kenali
istilah ARPAnet (Advanced Research
Project Agency) yang mana merupakan salah satu bahagian keamanan Negara
Amerika Syarikat.
Selepas
tiga tahun, lebih dari lima puluh universiti telah berhubung bersama-sama dalam
jaringan (network), dan jaringan
komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara masing-masing dan dunia.
Seiring dengan perkembangan ARPAnet, yang diikuti pula dengan kerjasama
jaringan antara kaum pendidik, dan eksperimen NASA mengenai jaringan komputer, jaringan ini mulai berhubung antara
satu sama lain, dan selepas itu muncul internet.
Dalam
konteks perniagaan, internet membawa impak transformasi yang menciptakan
paradigma baru dalam dunia perniagaan yang dikenali sebagai “Digital
Marketing”. Awal tahun 1990-an, perniagaan di internet mula berkembang pesat
mencapai jutaan pelanggan, maka muncul pula istilah baru “Electronic Commerce” atau lebih dikenali E-commerce. E-dagang merupakan sebuah sistem perniagaan yang
menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih.
Selain
itu, kaedah perdagangan dalam bentuk dalam talian ternyata amat murah dan mudah
dibandingkan dengan kaedah perdagangan yang dibuat secara konvensional dan
sekaligus mengurangkan keperluan kepada pengaliran wang tunai dan masa pembeli. Perdagangan elektronik moden biasanya
menggunakan World Wide Web (www) untuk
sekurang-kurangnya satu bahagian kitaran hidup transaksi walaupun ia juga boleh
menggunakan teknologi lain seperti e-mel.
Skop
e-dagang ini meliputi pelbagai pihak antaranya penjual, pelanggan, pembeli,
orang awam dan juga organisasi. perkembangan e-dagang ini bermula daripada
internet. Hal ini membuktikan penggunaan internet merevolusikan aktiviti
perdagangan menjadi aktiviti terpenting dalam mengutamakan perkembangan ekonomi
yang pesat dan maju. Kewujudan e-dagang juga berupaya melicinkan perjalanan
aktiviti perniagaan dan transaksi kewangan tidak mengira had dan sempadan.
Segala perhubungan dan penyebaran informasi perdagangan mencorakkan titik
penting dalam pengusaha mengembangkan dan memperluaskan penggunaan e-dagang
secara global.
E-dagang
dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu di antara perniagaan dan perniagaan
dan yang keduanya di antara perniagaan dan pengguna. Jenis e-dagang yang
pertama iaitu di antara perniagaan dan perniagaan melibatkan transaksi di
antara dua atau lebih perniagaan atau syarikat di mana seringkali satu pihak
merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain. Contohnya, pengeluar
pakaian sekolah berinteraksi dengan pasaraya seperti AEON atau Tesco dalam
proses memesan, menghantar dan membayar pesanan pakaian tersebut. Jenis
e-dagang seperti ini adalah proses/aktiviti seharian yang dijalankan oleh
pasaraya-pasaraya besar khususnya bagi memenuhi permintaan pelanggan dan
pengguna. Yang membezakannya mungkin dari segi platform dan laman web yang
digunakan untuk mengacara e-dagang tersebut.
Jenis
e-dagang yang kedua pula iaitu di antara perniagaan dengan pengguna pula
melibatkan transaksi di antara penjual akhir sesuatu produk itu misalnya sebuah
pasaraya yang menjual pakaian kepada pengguna terakhir ialah orang ramai yang
memesan dan memilih untuk membeli pakaian itu melalui sistem e-dagang.
Kebanyakan pasaraya sudah mula mengorak langkah mewujudkan sistem perniagaan
atas talian ini bagi memudahkan pelanggan membeli belah tanpa perlu menuju ke
premis perniagaan.
Dari
segi besarnya sesebuah transaksi itu, makanya jenis e-dagang yang pertama
memainkan peranan cukup penting dan paling banyak digunakan di Malaysia.
E-dagang jenis ini paling banyak manfaat kepada sesebuah syarikat kerana
melibatkan jumlah pesanan dan keuntungan yang besar. Namun, ini mungkin berubah
seiring dengan perkembangan internet dan jaringan sosial yang semakin
berkembang saban tahun. Masyarakat kini lebih memilih untuk menggunakan
jaringan e-dagang yang kedua kerana lebih memudahkan, menjimatkan masa dan
tidak memerlukan banyak pergerakan. Contohnya seperti membeli belah online di Lazada, Zalora dan rangkaian membeli belah yang lain.
2.0 Kepentingan
e-Dagang
3.0 Tahap Penggunaan e-Dagang di Malaysia
Seperti
yang kita ketahui rakyat Malaysia merupakan penyumbang atau pembeli terbesar
yang menyumbang kepada peningkatan perniagaan e-dagang di negara ini.
Berdasarkan ecommercemilo.com, Shoppu,
projek e-pasaran pertama oleh AEON
baru-baru ini menjalankan kajian pada awal tahun 2016. Hasil kajian di kalangan
pelanggan AEON yang dijalankan pada
tingkah laku membeli belah dalam talian membawa kepada penemuan bahawa 90%
daripada pengguna AEON memilih
membeli belah secara dalam talian (berdasarkan rajah di bawah). Ini secara
tidak langsung, pengguna sudah biasa dan memilih untuk membeli secara online.
Boleh dikatakan trend penggunaan e-dagang di Malaysia mula menampakkan perhatian bermula pada awal tahun 2010 di mana banyak butik-butik e-dagang tumbuh dan berkembang bagai cendawan selepas hujan seperti Sugarscarf, Calaqisya, Poplook, Topgirl dan FashionValet. Malah, jenama e-dagang gergasi yang cukup dikenali seperti FashionValet mengumpulkan hampir 400 jenama pakaian pelbagai jenama di bawah satu bumbung perniagaan e-dagang. Trend ini menjadi ikutan sehinggakan ada pereka pakaian terkenal mempercayai jenama ini untuk dijadikan “kedai” bagi memasarkan hasil rekaan meraka dengan harga yang mampu milik.
Dengan
pelbagai kajian yang dilakukan bagi membuktikan trend e-dagang di Malaysia
semakin berkembang, disokong pula dengan kenyataan oleh Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (SKMM 2016) yang menggalakkan penggiat industri,
termasuk pengendali perkhidmatan pos dan kurier utama, untuk menyokong
keperluan komuniti e-dagang dengan mengeluarkan Antarmuka Pemprograman Aplikasi
(API). Perkhidmatan dengan API boleh membantu meningkatkan pengalaman peniaga
dan pengguna untuk kaedah lebih fleksibel menghantar data pelaksanaan masa
nyata. Dengan lebih banyak API boleh diperoleh, ekonomi e-dagang akan
mengukuhkan lagi, malah tumbuh lebih cepat kerana lebih ramai peniaga dan
pengguna menggunakan platform pelaksanaan e-dagang. Malaysia berada pada titik
infleksi pertumbuhan e-dagang dengan jualan runcit dalam talian pada kira-kira
satu peratus berbanding 7.8 peratus di Eropah, China (7.2 peratus) dan Amerika
Syarikat (5.8 peratus). Ini berdasarkan kenyataan oleh Ketua Pegawai
Komunikasi, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.
Berdasarkan Utusan Malaysia mengenai
Potensi e-Dagang di Malaysia (31 Julai 2015), nilai e-dagang di Malaysia
dijangka berkembang kepada kira-kira RM88 bilion pada 2016, berbanding RM53
bilion pada 2014. Unjuran itu berdasarkan 55 peratus (%) pengguna Internet di
negara ini membeli-belah di atas talian menerusi pelbagai peranti selain
penembusan jalur lebar isi rumah mencecah 70 peratus. Faktor lain yang
menyumbang termasuk peningkatan pendapatan, perkembangan kad kredit dan debit
serta kepercayaan masyarakat dalam mengiktiraf manfaat membeli-belah atas
talian. Menyedari potensi sektor e-dagang, Astro Malaysia Holdings Berhad
(Astro) melancarkan GO SHOP yang dikendalikan Astro GS Shop Sdn. Bhd. (Astro GS
Shop), dengan kerjasama GS Home Shopping Inc.
Trending medium perniagaan e-dagang yang
sedia ada sekarang secara tidak langsung membuktikan bahawa trend e-dagang ini
sedang berada di kemuncaknya. Pengguna memilih untuk membeli secara dalam
talian dan ini menggalakkan lagi ekonomi dalam sektor perniagaan untuk
berkembang pesat. Industri kecil dan sederhana (IKS) juga dilihat mampu untuk
pergi jauh dan bersaing dengan perniaagn berskala besar dengan adanya
perkhidmatan e-dagang. Jika dahulu untuk mencari kedai atau perniagaan IKS ini
amatlah susah, tetapi dengan sekali klik di hujung jari, kesemuanya menjadi
dekat dan mudah.
4.0 Cabaran/Halangan Penggunaan e-Dagang
Walaupun penggunaannya semakin
mendapat sambutan, namun terdapat juga cabaran serta halangan penggunaan
e-dagang ini. Perlaksanaan sesuatu teknologi sudah tentu mempunyai cabaran baik
di awal pengenalannya atau ketika ia sedang dilaksanakan. Boleh dikatakan
teknologi yang baru ini amat bergantung kepada pihak yang bertanggungjawab
dalam melaksanakan pengoperasian teknologi tersebut agar semua pihak dapat
memanfaatkannya dan akhirnya dapat mencapai kejayaan dalam penggunaan sesebuah
teknologi yang diingini.
Cabaran
utama semestinya kemudahan akses internet. Mutu perkhidmatan jalur lebar di
kawasan luar bandar masih di tahap rendah dan tidak memungkinkan bagi rakyat
luar bandar untuk menikmati kemudahan e-dagang ini dengan sempurna tanpa
bantuan internet. Situasi ini dapat dilihat di kawasan luar bandar terutama
Sabah dan Sarawak. Kemudahan internet kini menjadi satu keperluan masyarakat
keseluruhan, termasuk penduduk di luar bandar, sebagai alat untuk memperoleh
ilmu pengetahuan, di samping menghubungkan komunikasi di seluruh pelusuk
negara. Sudah lah kemudahan serba kekurangan, malahan harga bagi mendapatkan
kemudahan internet mungkin agak mahal yang merencatkan pengguna untuk memanfaatkannya.
Penipuan e-dagang juga menjadi salah
satu cabaran bagi pengguna untuk menggunakan khidmat e-dagang dalam kehidupan
seharian. Menurut akhbar Sinar Harian
(2014), kes penipuan perdagangan elektronik (e-dagang) di negara ini semakin
meningkat terutamanya yang membabitkan pembelian telefon bimbit, pakaian, tiket
kapal terbang, pakej umrah, pakej percutian serta aksesori pakaian. Pelbagai
medium digunakan oleh penjenayah e-dagang bagi menipu para pengguna. Sebagai
contoh, pengguna telah membuat bayaran, namun barang yang dibeli tidak sampai.
Bukan sahaja penipuan oleh peniaga, pengguna e-dagang sendiri kini juga
terlibat dalam penipuan e-dagang. Memberi resit bayaran palsu menjadi salah
satu cabaran buat peniaga e-dagang di Malaysia.
Halangan seterusnya yang mungkin
menjadi faktor yang merencatkan penggunaan e-dagang ialah ketidakyakinan
pengguna dalam menggunakan kemudahan itu sendiri. Masih ada sesetengah pengguna
yang tidak percaya kepada peniaga e-dagang ketika membeli barang kerana barang
yang dikehendaki perlu dibayar terlebih dahulu dan barang akan dihantar
kemudian. Mungkin mengikut logik akal pengguna, risiko untuk ditipu agak
tinggi. Justeru pengguna memilih untuk pergi ke pasaraya-pasaraya dan
mendapatkan barang yang dikehendaki. Pengguna memilih untuk memanfaatkan sistem
konvensional sedia ada walaupun kemudahan sudah ada disebabkan halangan seperti
ini.
5.0 Faktor-faktor Pendorong Penggunaan e-Dagang
Perniagaan
e-dagang berkembang secara meluas di seluruh pelusuk dunia seiring dengan
perkembangan pesat internet. Melalui perniagaan e-dagang, pembekal atau peniaga
melantik ‘agen maya’ secara bebas kepada mana-mana pemilik atau webmaster laman
web. Ini merupakan salah satu faktor yang mendorong perkembangan penggunaan
e-dagang di Malaysia. Akses kepada internet yang mudah dan perkembangan jalur
lebar kini memudahkan aktiviti perniagaan di jalankan dengan mudah, dan pantas.
Dengan adanya internet, peniaga boleh berkomunikasi dengan pelanggan mereka
tanpa sempadan. Komunikasi tanpa sempadan ini yang menjadikan perniagaan
e-dagang lebih diminati oleh pelanggan kerana mereka bebas untuk bertanya
mengenai produk yang mereka hendak beli tanpa berjalan ke pasaraya atau
kedai-kedai.
Faktor
kedua yang menjadi pendorong penggunaan e-dagang ialah menjimatkan masa. Melalui
capaian yang dilakukan secara atas talian dapat menjimatkan masa. Ini adalah
kerana e-Dagang memainkan peranan unik di dalam pembangunan PKS memandangkan
pelanggan tidak perlu hadir ke kedai ataupun tempat perniagaan PKS untuk
membuat pembelian barang sekadar menggunakan internet sahaja. (Azilahwati,
Syaharizad, dan Nurazlen, 2014). Segala-galanya di hujung jari. Pesan sahaja,
bayar, dan tunggu barang anda sampai di depan muka pintu. Sangat mudah dan
menjimatkan masa pelanggan.
Faktor
seterusnya ialah menjimatkan kos. Dengan membeli barang secara online, ia dapat menjimatkan kos
pengangkutan untuk ke sesuatu tempat. Harga barangan juga akan menjadi lebih
murah sekaligus menjadikan kos sara hidup menjadi lebih rendah. Oleh itu
kecepatan penghantaran dan juga penerimaan barangan ataupun perkhidmatan sangat
dititikberatkan. Maklumat produk yang lebih terkini dan rapi sentiasa
dikemaskini dari masa ke semasa oleh pemilik blog atau penjual. Masyarakat
umumnya sedia maklum bahawa e-dagang membolehkan pembeli untuk membandingkan
produk dan harga yang ditawarkan oleh pesaing, yang mana ini secara tidak
langsung telah mewujudkan monopoli dalam kalangan pembeli. E-dagang juga
mengharapkan peningkatan usaha pemasaran masa dan juga penyingkiran orang
tengah. Seandainya kesemua ini dapat diwujudkan maka harga barangan dan juga
perkhidmatan akan menjadi lebih murah dan juga kompetitif.
6.0 Kesimpulan
Penggunaan
E-dagang dijangka akan melonjak naik dari setahun demi setahun sesuai dengan
meningkatan penerimaan IT di kalangan masyarakat, walau bagaimanapun di antara
yang membelenggu penerimaan e-dagang secara lebih meluas di kalangan khalayak
ramai ialah persepsi bahawa e-dagang masih tidak boleh dipercayai dari segi
keselamatan dan kepercayaannya berbanding dengan cara-cara tradisional
perdagangan.
Perubahan teknologi di dalam sektor
ekonomi seperti kewujudan industri pembuatan, pembinaan, perkhidmatan,
peruncitan dan pertanian merupakan satu faktor kewujudan peluang-peluang
perniagaan dimana pengenalan teknologi baru membolehkan pengeluaran dihasilkan
pada kos yang lebih rendah dan membuka pasaran yang lebih luas. Selain daripada
itu, sektor-sektor baru ini dapat dikembangkan dan sampai ke pengetahuan
pengguan dengan mudah tanpa sempadan.
Dengan
E-dagang sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan
beli dari dan di mana sahaja di dunia ini. Pra-syarat terpenting untuk
menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi E-Dagang ini
ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang
membolehkan anda mengkases Internet. Ini
sudah tentunya bermula dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon. Selain
dari itu, kemudahan jalur lebar yang disediakan oleh penyedia servis jalur
lebar seperti TM, Maxis, Celcom, dan syarikat telekomunikasi lain memainkan
peranan penting dalam menggalakkan industri ini untuk berkembang maju. Dengan
menyediakan pelan data yang mampu milik, kelajuan internet yang munasabah
dengan harga mampu menggalakkan penyertaan lebih ramai peniaga dan pengguna dlm
menggunakan e-dagang.
Dahulu
mungkin membeli belah secara konvensional merupakan kaedah paling terbaik untuk
mendapatkan barang yang dikehendaki, namun tidak lagi sekarang. Kita seharusnya
mengikuti dan berjalan seiring dengan arus kemodenan supaya kelak tidak
ketinggalan zaman. Penggunaan e-dagang sebenarnya memberikan banyak keuntungan
jika dimanfaatkan dengan cara yang betul. Semua pihak boleh menikmati hasil
dari faedah e-dagang dan memberi keuntungan atau “win-win situation” baik bagi peniaga dan pengguna.
Rujukan
2. http://bloggeredagang16.blogspot.my/2016/02/sejarah-dan-evolusi-e-dagang.html.
Diakses pada 7 November 2016
3. http://www.sentiasapanas.com/2015/07/apa-sebenarnya-maksud-e-dagang.html#axzz4PTQbbjeS.
Diakses pada 7 November 2016
4. http://www.ecommercemilo.com/2016/03/malaysian-online-shopping-insights-2016-shoppu.html.
Diakses pada 9 November 2016
5. http://snowhazel1437.blogspot.my/2016/09/tahap-penggunaan-e-dagang-di-malaysia.html.
Diakses pada 14 November 2016
7. https://www.utusan.com.my/rencana/potensi-e-dagang-di-malaysia-1.118882.
Diakses pada 14 November 2016
8. http://www.sinarharian.com.my/bisnes/beri-tumpuan-e-dagang-1.379096.
Diakses pada 14 November 2016
9. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm.
Diakses pada 17 November 2016
10. http://www.sinarharian.com.my/semasa/kes-penipuan-perdagangan-elektronik-meningkat-1.265781.
Diakses pada 17 November 2016
Subscribe to:
Posts (Atom)
