Showing posts with label Tugasan. Show all posts
Showing posts with label Tugasan. Show all posts

Friday, 25 November 2016

Industri Pelancongan Di Malaysia

1.         PENGENALAN
Sektor pelancongan adalah merupakan salah satu daripada dua belas Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang telah dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Keupayaan di dalam industri pelancongan telah terbukti di mana negara telah dinobatkan sebagai antara sepuluh destinasi pelancongan terkenal di dunia. Kerajaan akan meneruskan usaha untuk membawa sektor pelancongan dan kebudayaan ke peringkat yang lebih tinggi. Hal Ini adalah selaras dengan aspirasi negara di bawah Malaysia Tourism Transformation Plan yang mensasarkan kedatangan seramai 36 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM168 bilion pada tahun 2020.
Sektor pelancongan menfokuskan projek pelancongan yang mendatangkan hasil yang lumayan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam meningkatkan peluang-peluang pekerjaan yang berasaskan Pembangunan hotel, Projek pelancongan yang dirangka adalah digalakkan selaras dengan usaha untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing dan pusat serantau bagi perdagangan dan perniagaan.
Industri pelancongan negara telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Sektor ini juga dijangka akan terus berkembang pada masa depan. Dewasa ini, walaupun banyak destinasi pelancongan lain yang pelbagai telah dibangunkan, namun keunikan Malaysia sebagai kawasan yang wajib dilawati masih menjadi sasaran tinggi dalam pelancong.

2.         PEMBANGUNAN INDUSTRI
Jabatan Pelancongan mula ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Malaysia pada tahun 1959. Penglibatan sektor pelancongan dalam Rancangan Malaysia Ke-2 1971-1975 telah menekankan peri pentingnya peranan yang dimainkan industri pelancongan dalam ekonomi Negara.
Akta Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia 1972 telah diluluskan oleh Parlimen dengan persetujuan Diraja. Dengan kelulusan ini, Perbadanan menjadi sebuah badan berkanun. Menteri Perdagangan dan Perindustrian akan melantik Ahli-ahli Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab untuk menjalankan Perbadanan dan pentadbiran am. Garis-garis panduan yang ditetapkan oleh Perbadanan adalah seperti memperkenalkan Malaysia dalam pasaran antarabangsa dan serantau, menambahkan bilangan perjalanan antara negeri oleh rakyat Malaysia sendiri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri, terlibat dalam proses pembangunan fizikal industri pelancongan dan menjalani tugas-tugas yang berkaitan dengan pelancongan antarabangsa dan serantau.
Disamping itu, dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan berkolaborasi dengan pihak-pihak swasta untuk membangunkan produk-produk baru. Pada tahun 1994, kerajaan telah melancarkan Tahun melawat Malaysia 1994 dengan menawarkan 170 program dan acara yang merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, pameran, sukan dan konvensyen. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan. Pameran Maritim dan Udara (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi adalah contoh aktiviti tersebut. Aktiviti-aktiviti seperti ini perlu mempunyai perancangan yang teliti supaya dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Hal ini, dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan bahawa Malaysia cemerlang dalam bidang pelancongannya. Dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia, yang selari dengan slogan "Malaysia, Truly Asia". Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menyediakan kemudahan pembiayaan pinjaman Dana Pelancongan iaitu Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan. Tujuan Dana ini adalah untuk membantu pengusaha yang ingin membangunkan atau mengembangkan produk-produk pelancongan. Sebagai contoh, tembikar dan lain-lain lagi yang boleh dijadikan cenderamata kepada pelancong yang melawat ke sesebuah kawasan di Malaysia.
Pembangunan dalam industri pelancongan ini mendatangkan lima faedah utama kepada sesebuah negara. Antara faedah yang diperolehi adalah sumbangan kepada imbangan pembayaran negara, pembangunan kawasan bukan perindustrian, kewujudan peluang pekerjaan, pembangunan sosial seterusnya meningkatkan pendapatan kepada keseluruhan ekonomi menerusi impak berganda.
Galakan cukai diberi kepada pengusaha pelancongan yang mengendalikan pakej pelancong domestik yang mengendalikan pakej pelancongan dalam Malaysia dengan bilangan yang ditetapkan untuk tempoh setahun boleh membuat permohonan kepada Kementerian Pelancongan untuk sokongan bagi pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Tarikh kuatkuasa permohonan pelepasan cukai adalah mulai tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.
Tertubuhnya Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) pada Ogos 1972, sebagai sebuah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan sektor pelancongan dan rekreasi negara menunjukkan Industri pelancongan mulai diberikan perhatian serius. Hal ini demikian kerana, sebelum itu, pihak kerajaan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan memfokuskan kepada tahap kestabilan negara. Persidangan Kesatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur pada tahun 1972, telah membuka laluan yang lebih luas kepada industri pelancongan. [1] Pada  tahun  1986,  Perdana  Menteri,  Y.A.B  Dato’  Seri  Dr.  Mahathir  dalam  ucapan  perasmiannya  menyatakan  bahawa  untuk  membangunkan  industri  pelancongan  kerajaan  setiap  negara  hendaklah  bertanggungjawab  menjamin  kestabilan  politik  dan  mengenakan  peraturan  minimum  untuk  pelawat-pelawat  asing  supaya  lebih  ramai  pelancong  berminat  mengunjungi  negara  mereka.  Perasmian  Persidangan Tahunan Persatuan  Pelancongan  Kawasan  Pasifik  ini  merupakan  kali  kedua  diadakan  di  Malaysia  sejak  1972.
Penubuhan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah dilaksanakan pada tahun 1987. Kementerian tersebut seterusnya dinaiktarafkan kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada tahun 1990. Dengan penubuhan kementerian ini, ia dapat merancakkan lagi pembangunan dalam industri pelancongan (Marzuki A., 2010).
Melalui kejayaan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, ia membawa kepada peningkatan sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun selepas kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 dengan cara menggalakkan aliran masuk wang ke dalam negara dan mengurangkan aliran keluar mata wang negara seterusnya memulihkan krisis ekonomi negara. Pelbagai inisiatif telah diambil kerajaan untuk mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas yang berkaitan dengan industri pelancongan.
Pembangunan industri pelancongan di negara ini pada masa kini telah mencapai pada tahap yang boleh dibanggakan. Peningkatan dalam industri ini adalah dibantu oleh kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan.
Konsep pelancongan yang telah lama wujud dalam bentuk ‘matahari-laut-pemandangan’ atau “3S” (sun-sea-scenery) masih menjadi tumpuan utama tarikan pelancong, walaupun terdapat banyak langkah diambil untuk memaju dan mempromosikan potensi pelancongan bentuk lain seperti ‘eco-tourism, agro-tourism, geo-tourism, archaeotourism, education-tourism, health-tourism’ dan banyak lagi untuk mempelbagaikan destinasi pelancongan. Sektor pelancongan di negara ini juga giat memajukan beberapa aspek yang berkaitan dengan keperluan industri ini, umpamanya mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja dalam sektor ini melalui latihan; pembangunan produk pelancongan seperti mempromosikan Malaysia sebagai destinasi peranginan bukit dan pulau, destinasi membeli-belah, dan upacara-upacara bertema. Promosi juga giat dijalankan untuk pelancongan sukan dan rekreasi, pelancongan ekologi, pelancongan pertanian dan program tinggal di rumah angkat, pelancongan budaya dan warisan, dan pelancongan pendidikan serta kesihatan. Malahan pihak kerajaan dan sektor swasta juga mengambil langkah mempertingkatkan kemampuan negara sebagai destinasi pameran, mesyuarat dan persidangan melalui pelbagai insentif.
Pelancongan pinggir pantai telah dikenalpasti sebagai salah satu daripada empat jenis pelancongan utama (United Nations. 1995). Bagaimanapun, seperti lain-lain bentuk pembangunan, pelancongan juga mempunyai batas-batas tersendiri terutamanya dalam konteks kemampuan sesuatu destinasi untuk menarik serta menampung kedatangan pelancong. Kawasan pinggir pantai menjadi tumpuan utama kerana faktor-faktor keunikan kawasan pinggir pantai tersendiri. Kawasan pinggir pantai di Malaysia mempunyai daya tarikan pantai yang indah, terumbu karang, pulau dan sinaran matahari sepanjang tahun, menjadi sebagai salah satu daripada kawasan yang mempunyai kemampuan untuk memenuhi permintaan untuk tujuan pembangunan pelancongan, rekreasi dan peranginan. Terdapat beberapa tempat yang menarik yang mampu menjadi tarikan pelancong dan juga untuk tujuan pembangunan pelancongan. Contoh Pulau Hentian, Bukit Tinggi, Gunung Kinabalu dan lain-lain yang terdapat di Malaysia. Tarikan pelancong bukan hanya bergantung pada pantai dan persekitarannya, tetapi juga disebabkan keunikan terumbu karang, dan paya bakau yang kaya dengan kepelbagaian flora dan faunanya. Alam semulajadi yang indah, unik dan pelbagai seperti hutan hujan tropika, iklim dan cuaca yang tidak melampau, banjaran gunung, pulau dan pantai yang cantik dan fauna merupakan antara tarikan kekuatan yang dimiliki di Malaysia.

3.         KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA.
Apabila Tahun Melawat Malaysia telah diisytiharkan oleh kerajaan pada tahun 1990, ia memperlihatkan usaha kerajaan didalam memberikan perhatian terhadap industri pelancongan yang berpotensi untuk memajukan negara. Statistik bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat saban tahun. Justeru itu, usaha mempromosikan Malaysia terhadap pelancong asing merupakan usaha yang memberikan kebaikan kerana industri pelancongan di negara ini dan mempunyai kepentingan dan sumbangannya yang tersendiri terhadap pembangunan ekonomi negara.
Mathieson & Wall (1982), mengatakan bahawa pelancongan melibatkan pergerakan sementara manusia kepada destinasi di luar tempat kerja biasa dan tempat tinggal. Antara industri yang terbesar dan paling menguntungkan sejak beberapa dekad yang lalu. Industri ini mampu menjana ratusan industri lain yang bergantung sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengannya dan mewujudkan jutaan pekerjaan dan pembahagian pendapatan. Industri pelancongan, umpamanya akan melibatkan industri pembinaan, perhotelan, pengangkutan, industri pembuatan, industri makanan dan pelbagai industri perkhidmatan yang lainnya. Langkah memajukan ekonomi seiring dengan proses globalisasi telah mendorong banyak negara untuk membangunkan sektor pelancongan untuk mempertingkatkan kemasukan mata wang asing.
Kepentingan industri pelancongan di negara ini amat jelas berdasarkan sokongan yang diberikan oleh kerajaan terhadap sektor ini. Semasa Rancangan Malaysia ke-7, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 605.5 juta untuk pembangunan pelancongan (Jadual 2), dan untuk Rancangan Malaysia ke-8 kerajaan telah memperuntukkan lebih daripada RM satu bilion, iaitu pertambahan hampir 67 peratus daripada peruntukan sebelumnya.



Salah satu kepentingan utama industri pelancongan ialah menyumbang kepada pendapatan negara. Kehadiran pelancong membawa kepada pertumbuhan dan pendapatan negara.  Pelancongan menjadi penggerak utama tukaran mata wang sesebuah negara dan  memperolehi kadar pulangan tukaran mata wang yang tinggi. Setiap pelancong yang berbelanja untuk kemudahan asas ketika melancong akan menambahkan pendapatan negara dan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi dan kemudahan-kemudahan pelancongan di negara ini.
Industri pelancongan juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas. Industri pelancongan memerlukan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan seperti pekerja hotel, pemandu pelancong, peniaga makanan dan minuman, peniaga dan pembuat barangan kraf tangan dan sebagainya. Oleh itu, kekosongan pelbagai jawatan akan terbuka luas.
Kegiatan pelancongan yang aktif akan memudahkan kerajaan dalam menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara ini. Disamping menarik pelabur untuk melabur dalam bidang pelancongan, industri ini juga dapat menarik pelabur untuk melabur dalam bidang-bidang lain seperti pengangkutan, pembuatan makanan, pembinaan dan sebagainya

4.         HALANGAN/ CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN
Pelbagai tragedi yang berlaku terhadap Malaysia pada tahun 2014 telah memberi kesan buruk terhadap industri pelancongan Negara. Cabaran ini dilihat telah mengugat jumlah kedatangan pelancong dan penjanaan hasilnya sepanjang tahun 2014, namun usaha keras yang dimainkan oleh Kementerian Pelancongan terutamanya melalui Tourism Malaysia, telah meningkatkan keyakinan pelancong dari lain-lain negara selain China, untuk terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.
Rentetan daripada tragedi tersebut, negara telah menyaksikan penurunan jumlah kedatangan pelancong dari negara China disebabkan oleh kepercayan mereka yang terjejas terhadap keselamatan negara ini. Penurunan ini dapat dibuktikan dengan pasaran China yang menurun sebanyak 11.8% bagi tempoh awal kejadian iaitu Januari hingga Julai tahun 2014 berbanding tempoh sama pada tahun 2013. Sehingga akhir tahun 2014, kemerosotan ini masih juga berlaku dengan penurunan sebanyak 9.9 peratus. Perkara ini adalah sangat membimbangkan keranan pelancong dari negara China adalah merupakan antara yang teratas statistik jumlah pelancong yang tertinggi di Malaysia.
Industri ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang dilihat telah menggugat jumlah kedatangan pelancong dan penjanaan hasilnya sepanjang tahun 2014. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sehingga April lepas, sebanyak 76 penerbangan berjadual dan sewa khas dari China ke Kota Kinabalu telah dibatalkan. MAS telah membatalkan 10 penerbangan berjadual dari Shanghai-Kota Kinabalu, manakala syarikat penerbangan China, Southern Airlines membatalkan 22 penerbangan berjadual dari Shenzen-Kota Kinabalu, Penerbangan tambang murah Spring Airlines pula membatalkan 44 penerbangan dari Shanghai ke Kota Kinabalu.
Bagi mengimbangi kekurangan pelancong China ke negara ini, kementerian telah menggariskan strategi jangka pendek melalui Tourism Malaysia dengan mempertingkatkan promosi di pasaran jarak sederhana. “Kementerian telah meningkat kempen di negara-negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, India, Bangladesh, Kuwait, Oman, Qatar, Australia dan New Zealand, selain itu sebuah jawatankuasa pengurusan krisis telah ditubuhkan oleh Tourism Malaysia untuk menangani pasaran pelancongan China selain berinteraksi secara aktif dengan pengusaha industri untuk mengembalikan keyakinan pelancong China ke Malaysia[2]
Usaha-usaha ini terbukti, apabila jumlah pelancong dari negara lain seperti Singapura, Indonesia, Korea dan pelancong-pelancong dari Barat dan Asia Barat dilihat meningkat walaupun selepas insiden kemalangan MH370 dan MH17. Data terkini yang dikeluarkan oleh “Tourism Malaysia”, sehingga Disember 2014, mencatatkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia telah meningkat sebanyak 6.7 peratus menjadi seramai 27.4 juta pelancong. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa industri pelancongan Malaysia masih berdaya saing. Kempen-kempen yang dijalankan oleh Tourism Malaysia untuk mengembalikan kepercayaan pelancong China, walaupun masih belum membuahkan hasil yang memberangsangkan namun, ianya sedikit sebanyak telah mengorak langkah kearah masa hadapan industri ini yang lebih positif[3].

5.         SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
Potensi industri pelancongan untuk menjadi penjana ekonomi negara hanya dapat direalisasikan jika segala usaha untuk membangun dan memajukan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Kejayaan yang diterima industri pelancongan bukanlah semata-mata disebabkan oleh kempen dan promosi galakan di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga adalah disebabkan daripada pengalaman pelancong itu sendiri ketika melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik ketika melancong ke Malaysia akan turut mempromosikan negara Malaysia sebagai negara yang patut dilawati kepada orang lain (Yahya R., 2009).
Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) adalah salah satu pertubuhan yang ditubuhkan untuk menyokong aktiviti pelancongan ini. PATA mempunyai pengaruh yang besar dalam industri pelancongan telah mengadakan persidangan tahunannya di Malaysia. PATA memainkan peranan yang penting dalam memulihkan kepercayaan masyarakat dunia terhadap keindahan negara Malaysia melalui pelbagai promosi yang dibuat di seluruh dunia. Pada tahun 1992, PATA telah menggariskan Kod Tanggungjawab Sektor Pelancongan Terhadap Alam Sekitar (KTSPTAS) sebagai panduan perancangan dan pelaksanaan kegiatan pelancongan yang lebih mesra alam di seluruh dunia.
Sistem ‘tagal’ juga merupakan salah satu sistem yang digunakan dalam menyokong industri pelancongan di Malaysia. Sistem tagal adalah satu kaedah pengurusan biosfera yang popular di Sabah. Ia juga dikenali sebagai bombon yang bermaksud jangan dalam bahasa Kadazandusun. Ia merupakan satu kaedah tradisional yang telah diubahsuai menjadi satu sistem pengurusan yang lebih tersusun di bawah pemantauan Jabatan Perikanan negeri Sabah.
Berdasarkan sistem ini, penggunaan sumber semulajadi dihadkan dengan mengaplikasikan zon rizab dan juga limitasi penuaian sumber sungai khususnya. Amalan pengurusan ini juga telah diperluaskan kepada lebih ramai komuniti sekaligus membantu menjadi satu sistem pengurusan yang bukan sahaja untuk pemuliharaan alam sekitar tetapi sebagai sebuah ‘produk’ yang menyumbang kepada ekonomi dan sosial komuniti pelaksana. Ini merupakan salah satu pendekatan dalam utilitarian sumber semulajadi tempatan (Foo J., 2011).

6.         LANGKAH - LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Industri pelancongan perlu digembleng untuk menjadi antara industri yang berdaya saing yang mampu meningkatkan pendapatan KDNK negara. Oleh itu, langkah-langkah untuk mendorong dan membangunkan industri pelancongan perlu diambil sewajarnya.
Langkah melaksanakan pelancongan Pendidikan sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan didalam mencapai cita-cita untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau Asia Pasifik dan atas matlamat itu, perlu dilakukan. Atas perlaksanaan yang dirangka itu, pelbagai kemudahan dan infrastruktur dan kemudahan pendidikan telah diwujudkan. Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta program usahasama dengan institut pengajian tinggi di luar negara semakin giat diadakan untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk menyambung pengajian di Malaysia. Kestabilan politik, situasi dalam negara yang aman, kemajuan teknologi dan penyelidikan serta kadar tukaran asing yang rendah dianggap sebagai faktor-faktor yang menjadikan Malaysia persekitaran yang begitu kondusif untuk tujuan pembelajaran. Keharmonian kaum juga membuktikan bahawa masyarakat Malaysia bersedia menerima pelajar dari apa jua latar belakang agama dan budaya.
Selain itu, Agro-pelancongan adalah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan kepada para pelancong. Malaysia sebagai negara yang kaya dengan hasil pertanian mempunyai hasil bumi yang subur dan pelbagai. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya.
Disamping itu, Pelancongan Sukan juga telah membawa Malaysia giat mempromosikan diri sebagai penganjur dan tuan rumah kepada pelbagai kejohanan sukan dan aktiviti rekreasi bertaraf dunia, seterusnya menjadikan Malaysia destinasi utama pelancongan sukan di rantau Asia Pasifik. Penganjuran sukan seperti Sukan Komanwel 1998, Formula 1, Powerboat, Le Tour De Langkawi dan sebagainya adalah sebahagian daripada acara sukan yang mendapat pengiktirafan dunia. Penyediaan kemudahan dan infrastruktur sukan yang lengkap dan canggih menjadikan Malaysia sentiasa bersedia untuk menganjurkan apa jua kejohanan sukan. Kompleks Sukan Negara dan Litar F1 Sepang contohnya adalah infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa yang kini menjadi tumpuan acara-acara sukan terkemuka. Malaysia juga dikurniakan dengan alam semulajadi yang bukan sahaja indah malah begitu sesuai untuk pelbagai aktiviti berteraskan adventure sports. Hal Ini menggalakkan penyertaan pelancong yang mempunyai minat khas untuk datang dan mengalami sendiri aktiviti sukan dalam persekitaran yang begitu mencabar. Selain itu, Malaysia juga memiliki lebih daripada 250 padang golf di seluruh negara yang menjadi tarikan mereka yang menggemari sukan golf. Kualiti yang disediakan juga bertaraf antarabangsa.
Langkah seterusnya, kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara kita disediakan dengan perancangan yang baik untuk kemudahan pengguna. Sebagai contoh, keretapi laju (ETS) adalah salah sebuah projek pengangkutan yang berkaitan dengan bidang pelancongan ini. ETS yang jauh lebih laju daripada keretapi biasa dapat menarik pelancong untuk menaikinya untuk menuju ke destinasi berjarak jauh di Malaysia. Ia dapat menjimatkan masa para pelancong dan masa tersebut boleh digunakan untuk melakukan aktiviti pelancongan. Contoh dari Kuala Lumpur ke Padang Besar. Selain dari ETS, kemudahan bot ataupun feri dapat menarik bilangan pelancong untuk mengunjungi pulau-pulau peranginan yang terdapat di Malaysia ini. Contohnya, perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi telah dinaiktarafkan dengan feri yang boleh membawa penumpang dengan kenderaan ke pulau tersebut. Dengan itu, ia lebih memudahkan pergerakan para pelancong kerana mereka tidak perlu untuk menyewa kenderaan lagi ketika berada disana (Johan M., 2015).

7.         KESIMPULAN
Pelbagai langkah dapat dirancang dan dilaksanakan untuk menaikkan industri pelancongan Malaysia. Semua pihak tidak kira kerajaan, swasta mahupun orang persendirian haruslah membantu mempromosikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan yang hebat. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan kepelbagaian budaya kaum-kaum di negara ini akan menjadi sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan dan luar negara.
Konklusinya, industri pelancongan terbukti mendatangkan pelbagai faedah kepada pembangunan negara. Justeru, semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan impian negara untuk menjadi sebuah destinasi pelancongan utama di dunia dan rantau ini terus subur. Selain itu, sumbangan sektor ini dari segi penjanaan hasil, amat menggalakkan. Pelancongan adalah satu industri yang sangat penting untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.
Oleh itu, dapat disimpulkan sektor pelancongan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ekonomi sesebuah negara. Usaha-usaha dan pelbagai strategik daripada pelbagai pihak penting untuk memperkasakan industri pelancongan di mata dunia dan seterusnya mengukuhkan kedudukan industri pelancongan di Malaysia dipersada antarabangsa.

RUJUKAN

Foo J., (2011). Sistem Tagal dalam Industri Pelancongan: Manfaat Kepada Komuniti. Malaysia Journal of Society and Space, 7(1), 14-15.          
Jahi, j. M. (2009). Pembangunan Pelancongan dan Impaknya terhadap Persekitaran Fizikal Pinggir Pantai. Malaysian Journal of Environmental Management , 71-88. 
Johan M. (2015). Industri Pelancongan Malaysia Masih Berdaya Saing. Diambil dari  https://www.mier.org.my/newsarticles/archives/pdf/musalmah28_4_2015.pd
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. (2013). Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan. Diambil dari http://www.motour.gov.my/muat-turun-borang/doc_view/26-borang-permohonan-lesen-tambahan.raw?tmpl=component
Ling, N. G. (2012). Faktor yang mempengaruhi kunjungan ulangan pelancong. Malaysian Journal of Science and Space , 1-11.  
Majed M.J. (2015, Jun 12). Cabaran Industri Pelancongan Negara. Utusan Online, Diambil dari http://www.utusan.com.my/rencana/cabaran-industri-pelancongannegara-1.101769
Mathieson, A. & Wall, G. 1982. Tourism: Economic, Physical and Social Impacts. New York: Longman.
Salleh, N. H. (2016). Analisis Keperluan Tenaga Manusia dalam Industri Pelancongan di Malaysia. Malaysian Journal of Mathematical Sciences , 161-174. 
Sinar Online (2014, April 17). Insiden MH370 Jejas Ketibaan Pelancong China. Diambil dari http://www.sinarharian.com.my/nasional/insiden-mh370-jejas-ketibaanpelancong-china-1.271606
Sufian Mohd Sharip. (2016, Julai 28). Tahap Pembangunan Industri Pelancongan di ambil dari http://sufianblogindustripelancongan.blogspot.my/2016/07/tahap-pembangunan-industri-pelancongan.html
United Nations. 1995. Guidelines on environmentally sound development of coastal tourism. New York: United Nations.
Yahya R. (2009). Industri Pelancongan Di Malaysia. Diambil dari http://ramlibinyahya.blogspot.my/2009/07/industri-pelancongan-di-malaysia.html



[1] Persidangan Tahunan Ke-35 Persatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) ini  merupakan  kali  kedua  diadakan  di  Malaysia  sejak  1972  ini,  telah  disiarkan  secara  langsung  oleh  Radio  dan  Televisyen  Malaysia  (RTM)  ke  seluruh  negara
[2] Diakses pada 15 November 2016 di laman sesawang http://www.theborneopost.com/2014/06/18/insiden-penculikan-di-sabah-jejas-kedatangan-pelancong-china/
[3] Diakses pada 16 November 2016 dilawan sesawang https://www.mier.org.my/newsarticles/archives/pdf/musalmah28_4_2015.pdf mengenai Industri Pelancongan Malaysia Masih Berdaya Saing oleh Musalmah Johan. Pegawai Penyelidik Kanan. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Industri Pelancongan Malaysia Masih Berdaya Saing oleh Musalmah Johan. Pegawai Penyelidik Kanan. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER)

Tuesday, 15 November 2016

Pengenalan e-Dagang

1.0    Pengenalan e-Dagang

            Elektronik Dagang atau juga dikenal sebagai e-Dagang atau eDagang merupakan satu kemudahan perdagangan atau perniagaan sesuatu produk atau servis dengan menggunakan kaedah jaringan komputer seperti internet atau jaringan sosial dalam talian.  Secara ringkas, boleh juga dikatakan ia satu platform bagi seseorang peniaga untuk melakukan  aktiviti jual beli dalam talian, tidak kiralah dalam memasarkan produk atau servisnya.

          Menurut Wikipedia, Perdagangan elektronik atau e-dagang (Bahasa Inggerisnya disebut sebagai E-commerce) merujuk kepada perniagaan atau perdagangan yang menggunakan peralatan dan infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat sebagai medium untuk tujuan komunikasi dan juga transaksi. Melalui konsep e-dagang ini, masa kerja dan urusniaga menjadi lebih fleksibel, peniaga boleh memiliki pertubuhan/pejabat maya atau hanya beroperasi di rumah, pasaran perniagaannya adalah lebih meluas iaitu serata dunia dan ia berjalan 24 jam tanpa henti.

Sejarah kemunculan internet bermula pada era 60-an dan e-dagang juga berkembang sejak itu, pada tahun 1969. Internet lahir pada tahun 1969 di Amerika iaitu kelompok peneliti berhubungan dengan empat komputer di UCLA, Stanford Research Institut, Universiti Utah dan Universiti California di Santa Barbara. Mereka telah mencipta sebuah jaringan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain yang di kenali istilah ARPAnet (Advanced Research Project Agency) yang mana merupakan salah satu bahagian keamanan Negara Amerika Syarikat.

Selepas tiga tahun, lebih dari lima puluh universiti telah berhubung bersama-sama dalam jaringan (network), dan jaringan komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara masing-masing dan dunia. Seiring dengan perkembangan ARPAnet, yang diikuti pula dengan kerjasama jaringan antara kaum pendidik, dan eksperimen NASA mengenai jaringan komputer, jaringan ini mulai berhubung antara satu sama lain, dan selepas itu muncul internet.

Dalam konteks perniagaan, internet membawa impak transformasi yang menciptakan paradigma baru dalam dunia perniagaan yang dikenali sebagai “Digital Marketing”. Awal tahun 1990-an, perniagaan di internet mula berkembang pesat mencapai jutaan pelanggan, maka muncul pula istilah baru “Electronic Commerce” atau lebih dikenali E-commerce. E-dagang merupakan sebuah sistem perniagaan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih.

Selain itu, kaedah perdagangan dalam bentuk dalam talian ternyata amat murah dan mudah dibandingkan dengan kaedah perdagangan yang dibuat secara konvensional dan sekaligus mengurangkan keperluan kepada pengaliran wang tunai dan masa pembeli.     Perdagangan elektronik moden biasanya menggunakan World Wide Web (www) untuk sekurang-kurangnya satu bahagian kitaran hidup transaksi walaupun ia juga boleh menggunakan teknologi lain seperti e-mel.

Skop e-dagang ini meliputi pelbagai pihak antaranya penjual, pelanggan, pembeli, orang awam dan juga organisasi. perkembangan e-dagang ini bermula daripada internet. Hal ini membuktikan penggunaan internet merevolusikan aktiviti perdagangan menjadi aktiviti terpenting dalam mengutamakan perkembangan ekonomi yang pesat dan maju. Kewujudan e-dagang juga berupaya melicinkan perjalanan aktiviti perniagaan dan transaksi kewangan tidak mengira had dan sempadan. Segala perhubungan dan penyebaran informasi perdagangan mencorakkan titik penting dalam pengusaha mengembangkan dan memperluaskan penggunaan e-dagang secara global.

E-dagang dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu di antara perniagaan dan perniagaan dan yang keduanya di antara perniagaan dan pengguna. Jenis e-dagang yang pertama iaitu di antara perniagaan dan perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau lebih perniagaan atau syarikat di mana seringkali satu pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain. Contohnya, pengeluar pakaian sekolah berinteraksi dengan pasaraya seperti AEON atau Tesco dalam proses memesan, menghantar dan membayar pesanan pakaian tersebut. Jenis e-dagang seperti ini adalah proses/aktiviti seharian yang dijalankan oleh pasaraya-pasaraya besar khususnya bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pengguna. Yang membezakannya mungkin dari segi platform dan laman web yang digunakan untuk mengacara e-dagang tersebut.

Jenis e-dagang yang kedua pula iaitu di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual akhir sesuatu produk itu misalnya sebuah pasaraya yang menjual pakaian kepada pengguna terakhir ialah orang ramai yang memesan dan memilih untuk membeli pakaian itu melalui sistem e-dagang. Kebanyakan pasaraya sudah mula mengorak langkah mewujudkan sistem perniagaan atas talian ini bagi memudahkan pelanggan membeli belah tanpa perlu menuju ke premis perniagaan.

Dari segi besarnya sesebuah transaksi itu, makanya jenis e-dagang yang pertama memainkan peranan cukup penting dan paling banyak digunakan di Malaysia. E-dagang jenis ini paling banyak manfaat kepada sesebuah syarikat kerana melibatkan jumlah pesanan dan keuntungan yang besar. Namun, ini mungkin berubah seiring dengan perkembangan internet dan jaringan sosial yang semakin berkembang saban tahun. Masyarakat kini lebih memilih untuk menggunakan jaringan e-dagang yang kedua kerana lebih memudahkan, menjimatkan masa dan tidak memerlukan banyak pergerakan. Contohnya seperti membeli belah online di Lazada, Zalora dan rangkaian membeli belah yang lain.

2.0    Kepentingan e-Dagang


3.0    Tahap Penggunaan e-Dagang di Malaysia

Seperti yang kita ketahui rakyat Malaysia merupakan penyumbang atau pembeli terbesar yang menyumbang kepada peningkatan perniagaan e-dagang di negara ini. Berdasarkan ecommercemilo.com, Shoppu, projek e-pasaran pertama oleh AEON baru-baru ini menjalankan kajian pada awal tahun 2016. Hasil kajian di kalangan pelanggan AEON yang dijalankan pada tingkah laku membeli belah dalam talian membawa kepada penemuan bahawa 90% daripada pengguna AEON memilih membeli belah secara dalam talian (berdasarkan rajah di bawah). Ini secara tidak langsung, pengguna sudah biasa dan memilih untuk membeli secara online.
  
Rajah 1.0: Carta tingkah laku membeli belah hasil kajian yang dijalankan terhadap pelanggan AEON4

           Boleh dikatakan trend penggunaan e-dagang di Malaysia mula menampakkan perhatian bermula pada awal tahun 2010 di mana banyak butik-butik e-dagang tumbuh dan berkembang bagai cendawan selepas hujan seperti Sugarscarf, Calaqisya, Poplook, Topgirl dan FashionValet. Malah, jenama e-dagang gergasi yang cukup dikenali seperti FashionValet mengumpulkan hampir 400 jenama pakaian pelbagai jenama di bawah satu bumbung perniagaan e-dagang. Trend ini menjadi ikutan sehinggakan ada pereka pakaian terkenal mempercayai jenama ini untuk dijadikan “kedai” bagi memasarkan hasil rekaan meraka dengan harga yang mampu milik.

            Dengan pelbagai kajian yang dilakukan bagi membuktikan trend e-dagang di Malaysia semakin berkembang, disokong pula dengan kenyataan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM 2016) yang menggalakkan penggiat industri, termasuk pengendali perkhidmatan pos dan kurier utama, untuk menyokong keperluan komuniti e-dagang dengan mengeluarkan Antarmuka Pemprograman Aplikasi (API). Perkhidmatan dengan API boleh membantu meningkatkan pengalaman peniaga dan pengguna untuk kaedah lebih fleksibel menghantar data pelaksanaan masa nyata. Dengan lebih banyak API boleh diperoleh, ekonomi e-dagang akan mengukuhkan lagi, malah tumbuh lebih cepat kerana lebih ramai peniaga dan pengguna menggunakan platform pelaksanaan e-dagang. Malaysia berada pada titik infleksi pertumbuhan e-dagang dengan jualan runcit dalam talian pada kira-kira satu peratus berbanding 7.8 peratus di Eropah, China (7.2 peratus) dan Amerika Syarikat (5.8 peratus). Ini berdasarkan kenyataan oleh Ketua Pegawai Komunikasi, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

           Berdasarkan Utusan Malaysia mengenai Potensi e-Dagang di Malaysia (31 Julai 2015), nilai e-dagang di Malaysia dijangka berkembang kepada kira-kira RM88 bilion pada 2016, berbanding RM53 bilion pada 2014. Unjuran itu berdasarkan 55 peratus (%) pengguna Internet di negara ini membeli-belah di atas talian menerusi pelbagai peranti selain penembusan jalur lebar isi rumah mencecah 70 peratus. Faktor lain yang menyumbang termasuk peningkatan pendapatan, perkembangan kad kredit dan debit serta kepercayaan masyarakat dalam mengiktiraf manfaat membeli-belah atas talian. Menyedari potensi sektor e-dagang, Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) melancarkan GO SHOP yang dikendalikan Astro GS Shop Sdn. Bhd. (Astro GS Shop), dengan kerjasama GS Home Shopping Inc.

          Trending medium perniagaan e-dagang yang sedia ada sekarang secara tidak langsung membuktikan bahawa trend e-dagang ini sedang berada di kemuncaknya. Pengguna memilih untuk membeli secara dalam talian dan ini menggalakkan lagi ekonomi dalam sektor perniagaan untuk berkembang pesat. Industri kecil dan sederhana (IKS) juga dilihat mampu untuk pergi jauh dan bersaing dengan perniaagn berskala besar dengan adanya perkhidmatan e-dagang. Jika dahulu untuk mencari kedai atau perniagaan IKS ini amatlah susah, tetapi dengan sekali klik di hujung jari, kesemuanya menjadi dekat dan mudah.

4.0    Cabaran/Halangan Penggunaan e-Dagang

            Walaupun penggunaannya semakin mendapat sambutan, namun terdapat juga cabaran serta halangan penggunaan e-dagang ini. Perlaksanaan sesuatu teknologi sudah tentu mempunyai cabaran baik di awal pengenalannya atau ketika ia sedang dilaksanakan. Boleh dikatakan teknologi yang baru ini amat bergantung kepada pihak yang bertanggungjawab dalam melaksanakan pengoperasian teknologi tersebut agar semua pihak dapat memanfaatkannya dan akhirnya dapat mencapai kejayaan dalam penggunaan sesebuah teknologi yang diingini.

Cabaran utama semestinya kemudahan akses internet. Mutu perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar bandar masih di tahap rendah dan tidak memungkinkan bagi rakyat luar bandar untuk menikmati kemudahan e-dagang ini dengan sempurna tanpa bantuan internet. Situasi ini dapat dilihat di kawasan luar bandar terutama Sabah dan Sarawak. Kemudahan internet kini menjadi satu keperluan masyarakat keseluruhan, termasuk penduduk di luar bandar, sebagai alat untuk memperoleh ilmu pengetahuan, di samping menghubungkan komunikasi di seluruh pelusuk negara. Sudah lah kemudahan serba kekurangan, malahan harga bagi mendapatkan kemudahan internet mungkin agak mahal yang merencatkan pengguna untuk memanfaatkannya.

         Penipuan e-dagang juga menjadi salah satu cabaran bagi pengguna untuk menggunakan khidmat e-dagang dalam kehidupan seharian. Menurut akhbar Sinar Harian (2014), kes penipuan perdagangan elektronik (e-dagang) di negara ini semakin meningkat terutamanya yang membabitkan pembelian telefon bimbit, pakaian, tiket kapal terbang, pakej umrah, pakej percutian serta aksesori pakaian. Pelbagai medium digunakan oleh penjenayah e-dagang bagi menipu para pengguna. Sebagai contoh, pengguna telah membuat bayaran, namun barang yang dibeli tidak sampai. Bukan sahaja penipuan oleh peniaga, pengguna e-dagang sendiri kini juga terlibat dalam penipuan e-dagang. Memberi resit bayaran palsu menjadi salah satu cabaran buat peniaga e-dagang di Malaysia.

     Halangan seterusnya yang mungkin menjadi faktor yang merencatkan penggunaan e-dagang ialah ketidakyakinan pengguna dalam menggunakan kemudahan itu sendiri. Masih ada sesetengah pengguna yang tidak percaya kepada peniaga e-dagang ketika membeli barang kerana barang yang dikehendaki perlu dibayar terlebih dahulu dan barang akan dihantar kemudian. Mungkin mengikut logik akal pengguna, risiko untuk ditipu agak tinggi. Justeru pengguna memilih untuk pergi ke pasaraya-pasaraya dan mendapatkan barang yang dikehendaki. Pengguna memilih untuk memanfaatkan sistem konvensional sedia ada walaupun kemudahan sudah ada disebabkan halangan seperti ini.

5.0    Faktor-faktor Pendorong Penggunaan e-Dagang

Perniagaan e-dagang berkembang secara meluas di seluruh pelusuk dunia seiring dengan perkembangan pesat internet. Melalui perniagaan e-dagang, pembekal atau peniaga melantik ‘agen maya’ secara bebas kepada mana-mana pemilik atau webmaster laman web. Ini merupakan salah satu faktor yang mendorong perkembangan penggunaan e-dagang di Malaysia. Akses kepada internet yang mudah dan perkembangan jalur lebar kini memudahkan aktiviti perniagaan di jalankan dengan mudah, dan pantas. Dengan adanya internet, peniaga boleh berkomunikasi dengan pelanggan mereka tanpa sempadan. Komunikasi tanpa sempadan ini yang menjadikan perniagaan e-dagang lebih diminati oleh pelanggan kerana mereka bebas untuk bertanya mengenai produk yang mereka hendak beli tanpa berjalan ke pasaraya atau kedai-kedai.

Faktor kedua yang menjadi pendorong penggunaan e-dagang ialah menjimatkan masa. Melalui capaian yang dilakukan secara atas talian dapat menjimatkan masa. Ini adalah kerana e-Dagang memainkan peranan unik di dalam pembangunan PKS memandangkan pelanggan tidak perlu hadir ke kedai ataupun tempat perniagaan PKS untuk membuat pembelian barang sekadar menggunakan internet sahaja. (Azilahwati, Syaharizad, dan Nurazlen, 2014). Segala-galanya di hujung jari. Pesan sahaja, bayar, dan tunggu barang anda sampai di depan muka pintu. Sangat mudah dan menjimatkan masa pelanggan.

Faktor seterusnya ialah menjimatkan kos. Dengan membeli barang secara online, ia dapat menjimatkan kos pengangkutan untuk ke sesuatu tempat. Harga barangan juga akan menjadi lebih murah sekaligus menjadikan kos sara hidup menjadi lebih rendah. Oleh itu kecepatan penghantaran dan juga penerimaan barangan ataupun perkhidmatan sangat dititikberatkan. Maklumat produk yang lebih terkini dan rapi sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa oleh pemilik blog atau penjual. Masyarakat umumnya sedia maklum bahawa e-dagang membolehkan pembeli untuk membandingkan produk dan harga yang ditawarkan oleh pesaing, yang mana ini secara tidak langsung telah mewujudkan monopoli dalam kalangan pembeli. E-dagang juga mengharapkan peningkatan usaha pemasaran masa dan juga penyingkiran orang tengah. Seandainya kesemua ini dapat diwujudkan maka harga barangan dan juga perkhidmatan akan menjadi lebih murah dan juga kompetitif.

6.0    Kesimpulan

Penggunaan E-dagang dijangka akan melonjak naik dari setahun demi setahun sesuai dengan meningkatan penerimaan IT di kalangan masyarakat, walau bagaimanapun di antara yang membelenggu penerimaan e-dagang secara lebih meluas di kalangan khalayak ramai ialah persepsi bahawa e-dagang masih tidak boleh dipercayai dari segi keselamatan dan kepercayaannya berbanding dengan cara-cara tradisional perdagangan.

            Perubahan teknologi di dalam sektor ekonomi seperti kewujudan industri pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, peruncitan dan pertanian merupakan satu faktor kewujudan peluang-peluang perniagaan dimana pengenalan teknologi baru membolehkan pengeluaran dihasilkan pada kos yang lebih rendah dan membuka pasaran yang lebih luas. Selain daripada itu, sektor-sektor baru ini dapat dikembangkan dan sampai ke pengetahuan pengguan dengan mudah tanpa sempadan.

Dengan E-dagang sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan beli dari dan di mana sahaja di dunia ini. Pra-syarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi E-Dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan anda mengkases Internet.  Ini sudah tentunya bermula dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon. Selain dari itu, kemudahan jalur lebar yang disediakan oleh penyedia servis jalur lebar seperti TM, Maxis, Celcom, dan syarikat telekomunikasi lain memainkan peranan penting dalam menggalakkan industri ini untuk berkembang maju. Dengan menyediakan pelan data yang mampu milik, kelajuan internet yang munasabah dengan harga mampu menggalakkan penyertaan lebih ramai peniaga dan pengguna dlm menggunakan e-dagang.

Dahulu mungkin membeli belah secara konvensional merupakan kaedah paling terbaik untuk mendapatkan barang yang dikehendaki, namun tidak lagi sekarang. Kita seharusnya mengikuti dan berjalan seiring dengan arus kemodenan supaya kelak tidak ketinggalan zaman. Penggunaan e-dagang sebenarnya memberikan banyak keuntungan jika dimanfaatkan dengan cara yang betul. Semua pihak boleh menikmati hasil dari faedah e-dagang dan memberi keuntungan atau “win-win situation” baik bagi peniaga dan pengguna.

Rujukan

1.    https://ms.wikipedia.org/wiki/Perdagangan_elektronik. Diakses pada 7 November 2016
6.    http://inturalibrary0.tripod.com/artikel/k-ekonomi.htm. Diakses pada 14 November 2016
11. http://www.ftsm.ukm.my/aj/prokomers/pic/definisi.htm. Diakses pada 20 November 2016